Connect with:




Perebutan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin sengit di antara Liverpool dan Manchester City yang masing-masing mencatat lima kemenangan berturut-turut dalam lima aksi terakhir liga. Selain daripada perebutan takhta EPL, perebutan kasut emas juga menjadi tumpuan selepas beberapa pemain dilihat menjadi calon utama untuk memenanginya.

Jika pada tahun lepas, Mohamed Salah memenanginya dengan 32 jaringan, musim ini milik siapa pula. Mari kita lihat calon-calon yang mempunyai peluang untuk memenangi kasut emas musim 18/19.

 

Mohamed Salah (Liverpool)

Setelah memenangi kasut emas pada musim 17/18, Mohamed Salah menjadi calon utama untuk mengekalkan kemenangan musim ini selepas berkongsi kedudukan bersama penyerang Manchester City, Sergio Aguero dengan 19 gol. Pemain yang berasal dari Egypt itu melakukan 34 penampilan (main semua perlawanan) bersama Liverpool musim ini dan menjadi pemain pilihan untuk menjaringkan gol. Daripada 19 gol, Salah menggunakan kaki kiri untuk 17 golnya dan hanya dua daripada golnya menggunakan kaki kanan. Jumlah percubaan yang dilakukan Salah sebanyak 116 dan percubaan tepat ke arah gol sebanyak 56.

 

Sergio Aguero (Manchester City)

Sergio Aguero bukan nama asing untuk memenangi kasut emas apabila dia pernah memenanginya pada musim 14/15. Kini Aguero mempunyai peluang untuk melakukannya sekali lagi apabila dia berkongsi jaringan dengan Mohamed Salah sebagai pendahulu dengan 19 gol. Aguero dilihat lebih berpeluang kerana melakukan tiga hatrik musim ini. Aguero juga hanya melakukan 26 penampilan daripada 33 perlawanan. Aguero menggunakan kaki kanan untuk menghasilkan 11 gol dan 6 gol dengan menggunakan kaki kiri. Dua daripada jaringannya juga melalui tandukan. Jumlah percubaan yang dilakukan oleh Aguero sebanyak 97 dan 38 daripadanya adalah percubaan tepat ke arah gol.

 

Sadio Mane (Liverpool)

Seorang lagi pemain Liverpool yang mempunyai peluang cerah untuk memenangi kasut emas musim ini adalah Sadio Mane. Pemain kelahiran Senegal ini telah menjaringkan 18 gol daripada 32 penampilan bersama Liverpool. Gandingannya bersama Mohamed Salah dan Roberto Firmino sangat memberi impak kepada prestasi Liverpool pada musim ini. Mane menggunakan kaki kanan untuk menjaringkan 10 gol dan 5 gol menggunakan kaki kiri. Tiga jaringannya melalui tandukan. Mane telah melakukan 77 percubaan dan 37 daripadanya tepat ke gawang.

 

Pierre-Emerick Aubameyang (Arsenal)

Walaupun sering bermain sebagai pemain gentian, Pierre-Emerick Aubameyang masih mampu untuk menjadi calon untuk memenangi kasut emas. Dia kini menjaringkan 17 gol hasil daripada 31 penampilan bersama Arsenal. Aubameyang yang berasal dari Gabon menjaringkan 16 gol menggunakan kaki kanan dan satu gol sahaja menggunakan kaki kiri. Aubameyang telah melakukan 76 percubaan dan 32 daripadanya tepat ke sasaran.

 

Raheem Sterling (Manchester City)

Raheem Sterling salah satu calon untuk memenangi kasut emas selepas berjaya mencetak dua gol semasa aksi terakhir menentang Crystal Palace. Walaupun melakukan 27 penampilan, Sterling telah melakukan 17 gol. Sterling melakukan 12 jaringan menggunakan kaki kanan, tiga menggunakan kaki kiri dan dua melalui tandukan. Jumlah percubaan yang dilakukan Sterling adalah 62 dan percubaan tepat ke arah gol adalah 33.

Foto: Sportskeeda