Kasma Daniel Kasmayudin meraih kemenangan keempat setelah memenangi perlumbaan akhir CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 yang berakhir di Bandar Jasin Bestari, Jasin, Melaka, hari ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu menamatkan 20 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 17’18.875s, empat saat dihadapan rakan sepasukan, Mohd Ramdan Rosli manakala Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) di kedudukan ketiga dengan masa 17’22.664s.

“Pada peringkat awal, saya sedikit ketinggalan sebelum kembali mengejar pelumba di hadapan. Persaingan kali ini semakin sengit sebelum saya berjaya memintas untuk mendahului perlumbaan. Persaingan sengit diantara pelumba di belakang saya memberi kelebihan untuk saya terus selesa di hadapan sehingga ke garisan penamat,” jelas Kasma.

Kemenangan ini membantu Kasma untuk terus kekal di tangga teratas dengan mengumpul 100 mata, 117 mata mengatasi Afif di kedudukan kedua.

Pada masa sama pelumba muda negara itu turut mengumumkan akan beraksi secara wildcard dalam kelas 600cc pada pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang akan berlangsung di Litar Sentul, Indonesia, minggu ini.

Sementara itu, Azroy Hakeem Anuar merupakan pelumba paling bertuah pada hari ini apabila berjaya memenangi perlumbaan kategori CP115 meskipun terjatuh sewaktu pusingan ketiga perlumbaan.

Pemenang pusingan kelima di Maeps, Selangor itu bagaimanapun bernasib baik apabila perlumbaan telah diberhentikan setelah bendera merah dikibarkan sebelum perlanggaran diantara Azroy dan pendahulu ketika itu, Ahmad Syukran Aizat.

Sebaik perlumbaan kembali bersambung, Azroy yang memulakan perlumbaan dari petak kedua berjaya memintas Ahmad Syukran dan mendahului kedudukan sehingga ke garisan penamat.

Pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 12’36.249s diikuti Ahmad Syukran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) di kedudukan kedua dengan 12’38.581s manakala Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) ketiga dengan masa 12’42.460s.

Dua kemenangan berturut-turut melonjakkan Azroy ke tangga keempat keseluruhan dengan 50 mata manakala pendahulu keseluruhan, Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) yang menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam kekal di tangga teratas dengan mengumpul 105 mata.

Rakan sepasukan, Md Haziq Md Fairues di kedudukan kedua dengan 76 mata diikuti Ahmad Syukran ketiga, 67 mata.

Dalam kategori Wira, Md Syafieq Aiman akhirnya berjaya meraih gelaran juara yang pertama setelah muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 10’52.455s sementara Md Izam Ikmal Izamli meraih gelaran nabi juara dengan masa 10’52.577s. Md Danial Syhmi (PETRONAS Sprinta Yamaha – Afb Tech) meraih tempat ketiga dengan masa 10’59.774s.

Pendahulu, Md Aiman Tahiruddin yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11 setelah terjatuh pada awal perlumbaan bagaimanapun masih mendahului senarai keseluruhan dengan 91 mata manakala Syafieq naik ke tangga kedua dengan 87 mata. Saiful Azhary Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) turun ke tangga ketiga dengan 68 mata.