Connect with:




Seorang kartunis Australia, Mark Knight menerima banyak kecaman selepas menyiarkan karikatur kontroversi berbaur seksis dan rasis mengenai bintang tenis terkemuka, Serena William.

Karikatur Mark Knight, yang diterbitkan dalam akhbar Melbourne Herald Sun pada hari Isnin, mempamerkan Williams yang mempunyai tubuh badan gemuk sedang menghancurkan raketnya semasa kejohanan Terbuka Amerika Syarikat.

Dalam kartun itu juga, kelihatan pengadil sedang memujuk pemenang kejohanan, Naomi Osaka untuk memberikan kemenangan kepada Williams yang sedang marah.

Difahamkan, perlawanan akhir yang berlangsung Sabtu lepas menyaksikan juara Grand Slam sebanyak 23 kali itu tidak dapat menerima kekalahan dan gagal mengawal emosi dengan menghancurkan raket seterusnya memanggil pengadil dengan panggilan ‘pencuri’ dan ‘pembohong’.

Berikutan aksi memalukan itu, dia dikenakan denda sebanyak AS $ 17,000, sekaligus mencetuskan perdebatan dalam dunia tenis mengenai ‘standard’ terhadap atlet lelaki dan wanita dalam sukan.

Pada masa yang sama, Knight membalas kritikan itu dengan menunjukkan bahawa sebelum ini, dia pernah melukis kartun pemain lelaki tenis Australia, Nick Kyrgios dengan menggambarkan beliau seorang yang “berperilaku buruk”.

“Jangan kaitkan dengan jantina dalam kes ini sekiranya ianya hanya membabitkan tingkah laku seseorang,” katanya.

Foto Kredit; Mark KNIGHT / HERALD SUN / AFP