Petinju middleweight Mexico, Saul “Canelo” Alvarez yang sedang bersedia untuk pertembungan ulangan menentang Gennady Golovkin pada 5 Mei, didapati positif menggunakan bahan terlarang jenis clenbuterol dan promoter pantas menyalahkan daging tercemar yang diambil atlet berkenaan.

Ujian yang dijalankan menunjukkan Alvarez mempunyai dadah jenis terbabit di dalam sistem badannya dan Golden Boy Promotions dalam satu kenyataan menyebut, kandungan bahan terlarang berkenaan selaras dengan bahan tercemar yang di dalam daging yang pernah memberi kesan terhadap belasan atlet sekitar Mexico sejak tahun lalu.

“Kesan dadah yang dikesan pada atlet berkenaan sama dengan apa yang terkandung di dalam daging tercemar itu,” kata Golden Boy yang memetik kenyataan Daniel Eichner, pengarah makmal SMRTL yang menjalani ujian terbabit.

Syarikat promosi yang diketuai legenda tinju Mexico, Oscar de la Hoya berkata, pihaknya sudah memaklumkan Suruhanjaya Atlet Nevada dan promoter Golovkin, Tom Loeffler berhubung perkara berkenaan.

“Kami sedang menanti keputusan suruhanjaya Nevada,” kata Loeffler kepada AFP.

“Setiap kali anda berdepan kes seperti ini, ia tidak pernah menyenangkan. Tetapi kami akan tunggu maklumat lanjut. Buat masa ini, tidak ada yang berubah. Gennady masih lagi menjalani latihan dan kami harap pertarungan itu akan diteruskan tetapi terpulang kepada suruhanjaya.”

Golovkin dan Alvarez yang masing-masing tidak pernah tewas, seri ketika bertemu pada 16 September lalu tetapi keputusan itu dianggap kontroversi.

Ketika seorang juri memberi kemenangan kepada Golovkin manakala seorang lagi seri, terdapat keraguan berhubung keputusan yang diambil juri terakhir, Adalaide Byrd yang memberikan mata 118-110 ke atas Alvarez.

“Inilah pertarungan yang amat ditunggu Gennady,” kata Loeffler. “Dia merayu Canelo untuk bertarung dan mahu mengadakan perlawanan ulangan selepas berlaku kontroversi berhubung keputusan pengadil.

“Sudah tentu dia tidak akan membatalkan perlawanan ini. Tetapi pada masa sama, ada sebabnya mengapa kami adakan ujian ini. Tetapi kami akan menunggu keputusan dan lihat apa yang akan berlaku.”

Sumber: Harian Metro

Foto Kredit: New York Post