Connect with:




Tahukah anda, Malaysia telah menghantar seorang pelumba cilik, Imran Ismail dalam kejohanan dunia basikal tolak untuk kanak-kanak, Piala Strider 2018 yang berlangsung di Amerika Syarikat pada Sabtu lalu?

Apa yang lebih membanggakan, dia menjadi rakyat Malaysia pertama menjuarai kejohanan tersebut dalam kategori baharu yang diperkenalkan iaitu 14 inci ataupun 14x, mengatasi 25 peserta lain dari Amerika, Thailand, Costa Rica, Vietnam dan pesaing paling sengit dari negara Jepun.

Menurut laporan Awani, ayahnya. Shariman memberitahu dalam kejohanan yang berlangsung di Boulder, Colorado, pelumba berusia tujuh tahun itu tidak menjalani sebarang rutin harian ketika persediaan untuk menyertai kejohanan dunia berkenaan.

“Setiap minggu, Imran berlatih dengan CAK Sports Academy untuk meningkatkan daya ketahanannya, di samping latihan dengan basikal Strider dan berlumba dengan menyertai perlumbaan basikal Strider,” kata Shariman kepada Astro Awani.

Ia merupakan kali keempat Imran menyertai perlumbaan basikal tolak ini di peringkat antarabangsa antaranya di Tokyo dan Bangkok.

Piala Strider 2018

Permainan ini membabitkan basikal dua roda tanpa pengayuh yang juga dikenali sebagai push bike atau balance bike di peringkat antarabangsa.

Di samping itu, kejohanan tersebut dianjurkan syarikat pengeluar basikal tolak ataupun basikal imbang yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Strider.

Bagi ibu bapa yang ingin memberi pendedahan awal terhadap anak untuk belajar mengimbangi, mereka disarankan untuk menggunakan basikal dua roda sebelum menggunakan pengayuh.

Foto Kredit:  Rohaya Yusoff