Sebelum ini tidak ramai yang mengenali Mohd Failee Ghazali, namun aksi cemerlang bersama Perak dalam kempen Piala Malaysia 2011 menjadikan nama beliau meniti di bibir peminat skuad Seladang.

Menyumbang 4 gol dan menjadi peneraju carta penjaring Perak, Failee berazam meneruskan aksi pemusnah dalam pertemuan dengan musuh tradisi, Selangor dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini.

Failee mahu menjadikan perlawanan malam ini sebagai pentas terbaik membalas kepercayaan yang telah diberikan pengurusan Perak apabila meminjam beliau dari pasukan Liga Perdana, USM FC.

“Saya bangga apabila diberi peluang mewakili pasukan hebat seperti Perak danĀ  lebih membanggakan gol-gol saya dapat membantu pasukan layak ke suku akhir”

“Saya perlu berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana banyak melakukan hantaran-hantaran tepat sehingga membolehkan saya menjaringkan gol,” katanya ketika ditemubual malam semalam.

Mengakui pasukan Selangor dibarisi pemain yang hebat dan berpengalaman serta seimbang di setiap posisi, Failee dan rakan sepasukan telah pun bersedia untuk menumbangkan lawan di kandang sendiri.

“Kami tidak gentar dengan Selangor walaupun Perak dibarisi majoriti pemain muda, kerana jurulatih mempunyai perancangan tersendiri untuk memerangkap pihak lawan”

“Jika kami mengikut segala arahan, insya Allah kami dapat membawa pulang bekalan selesa,” kata Failee lagi sambil berjanji akan menyumbangkan gol sebagai hadiah untuk penyokong Perak.

Di sebalik harapan menggunung yang disandarkan kepadanya, Failee berharap peminat Perak akan membanjiri Stadium Shah Alam bagi memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada pasukan.