Liga Kriket Dunia Divisyen 3 yang bakal berlangsung di Kenya bermula 23 Mei nanti akan menjadi kayu ukur sebenar skuad kriket kebangsaan yang telah menunjukkan banyak peningkatan sejak kebelakangan ini.

Ini kerana dua pasukan di tempat teratas akan menaiki divisyen 2 musim depan. Dari situ, ia akan memberi dua slot untuk bertanding ke kelayakan Piala Dunia 2018.

Menyedari hakikat betapa besar peluang Malaysia untuk terus meningkat bersaing di peringkat lebih tinggi, Persatuan Kriket Malaysia (MCA) mensasarkan pasukan negara untuk berada di dua tangga teratas.

“Itu sasaran yang realistik. Sejujurnya, saya sangat optimistik pasukan kita untuk muncul juara. Kita telah berlatih hampir 18 bulan termasuk kem latihan di Pakistan pada Januari lalu” jelas Presiden MCA, Mahinda Vallipuram.

Tambah Mahinda, berdasarkan prestasi semasa pasukan, beliau yakin dengan kemampuan skuad negara.

“Di Pakistan, saya diberitahu sendiri oleh wakil Pakistan bahawa para pemain kita telah banyak meningkat. Kita juga telah bermain di ACC Emerging Trophy dimana para pemain didedahkan dengan perlawanan menentang pasukan-pasukan hebat seperti India, Sri Lanka dan Afghanistan” jelasnya.

Selain Uganda selaku tuan rumah, Malaysia akan menentang 4 lagi pasukan iaitu Kanada, Oman, Singapura dan Amerika Syarikat.

Bagi timbalan ketua pasukan, Anwar Arudin, walaupun MCA meletakkan sasaran dua tempat teratas, dia dan rakan-rakan sepasukan berazam untuk membawa pulang kejuaraan.

“Semangat pasukan dalam keadaan terbaik ketika ini. Semua memberi fokus 100% dalam sesi latihan. Bagaimanapun kita tidak mahu terlampau yakin sehingga memandang rendah pasukan-pasukan lain”.

Seorang lagi pemain negara, Virandeep Singh yang dipilih sebagai pemain terbaik Malaysia Premier League berkata walaupun dilihat ‘ayam tambatan’ pasukan, semua pemain sebenarnya mempunyai tanggungjawab masing-masing pada kejohanan itu nanti.

“Saya akan mendahulukan pasukan terlebih dahulu, bukannya mengejar rekod individu.

“Saya rasa semua pemain dalam keadaan yang cukup bersedia apatah lagi kami baru sahaja menamatkan kempen liga. Apa yang saya lihat, semua pemain kebangsaan bermain dengan cukup baik dalam liga”.

Sebagai persiapan akhir, Malaysia akan terbang ke Kenya untuk mengadakan beberapa siri perlawanan usian menentang Kenya, Oman dan Singapura.

Seterusnya, skuad negara akan memulakan kempen Liga Kriket Dunia Divisyen 3 menentang Singapura pada 23 Mei, Amerika Syarikat (24 Mei), Kanada (26 Mei), Uganda (27 Mei) dan Oman pada 29 Mei.

Jika layak ke final, pasukan akan bermain pada 30 Mei. Ini juga bermakna Malaysia akan bermain 3 perlawanan pada bulan puasa iaitu menentang Uganda, Oman dan aksi playoff pada 30 Mei.1000