Connect with:




Dalam sukan kriket, selain pemain di atas padang, individu yang turut menjadi tumpuan adalah umpire atau pengadil. Ia bukan satu tugas yang mudah. Bagi Kalidas Viswanathan, menjadi satu-satunya umpire antarabangsa dari Malaysia yang dilantik oleh Majlis Kriket Dunia (ICC) adalah satu penghargaan yang paling tinggi sepanjang menyumbang khidmat dalam sukan kriket ini.

“Kriket sebenarnya sudah sebati dalam hidup saya. Sebelum ini, saya bertugas sebagai anggota TUDM berpangkat Pegawai Waran sebelum bersara kira-kira beberapa tahun yang lalu. Ketika dalam perkhidmatan, saya bermain untuk pasukan kriket TUDM” katanya yang pernah dilantik menjadi jurulatih skuad wanita kebangsaan sebelum ditempatkan ke bahagian pembangunan oleh Persatuan Kriket Malaysa (MCA).

Menjadi satu-satunya umpire dari Malaysia yang mendapat status umpire antarabangsa dari ICC. Kalidas memberitahu ia satu proses yang mengambil masa cukup panjang.

“Boleh dikatakan hampir 10 tahun lamanya. Bukan mudah untuk mendapat status umpire antarabangsa dari ICC.

“Anda perlu mengambil sijil tahap satu hingga seterusnya serta banyak peperiksaan yang perlu diduduki. Untuk berada hingga ke tahap ini, anda perlu komited dari mengadili perlawanan peringkat umur lagi. Tidak ada jalan pintas.

 (Photo by Peter Lim/Malaysian Cricket Association)

Bagi Kalidas, menjadi seorang umpire antarabangsa bukan tugasan yang mudah.

“Banyak pengorbanan yang perlu dibuat. Anda harus korbankan masa bersama keluarga. Jika pengadil sukan lain seperti bolasepak hanya mengadili perlawanan dalam tempoh 90 minit, umpire kriket pula perlu bertugas dari pagi sehingga ke petang dibawah cuaca panas yang terik.”

Bagaimana pula melihat peranan MCA dalam melahirkan lebih ramai lagi umpire di Malaysia?

Kata Kalidas, MCA menjalankan pelbagai program kepengadilan bagi menyediakan pegawai-pegawai pertandingan yang berkelayakan sepertu umpire dan pencatat mata.”

Setakat ini, MCA mempunyai seramai 60 orang umpire dan secara peribadi, ini jumlah yang sangat kecil. Kita memerlukan lebih dari itu. Saya sendiri ketika ini bertungkus lumus untuk membawa 2 hingga 3 orang umpire di bawah MCA untuk mengikut jejak langkah saya menjadi umpire antarabangsa ICC.”

(Photo by Peter Lim/Malaysian Cricket Association)

Khalidas turut berkongsi satu detik paling istimewa yang sukar untuk dilupakan sepanjang mengadili perlawanan antarabangsa.

“Saya tidak boleh lupakan kejadian yang berlaku semasa saya bertugas di Bermuda. Berlaku pergaduhan di antara pemain kedua-dua pasukan sehingga menyebabkan seorang pemain mengejar pemain lawan sambil membawa kayu bat kriket.

“Sebagai pengadil di atas padang, saya tidak boleh panik. Saya perlu gunakan diplomasi dalam meredakan suhu perlawanan. Apa yang saya lakukan adalah menghentikan seketika perlawanan dan mengarahkan kedua-dua pasukan bertenang di bilik persalinan.

“Apabila saya melihat semuanya terkawal, baru lah saya memanggil semula pemain untuk meneruskan perlawanan. Ia satu detik yang sangat istimewa”.