wpid-dunia-sukan-image-for-website-story17-300x200.jpeg

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta kajian menyeluruh dibuat berhubung jangka masa kepimpinan persatuan sukan dihadkan kepada sesuatu tempoh tertentu bagi memastikan kelangsungan pembangunan dan kemajuan sukan negara.

Sambil menerima baik cadangan itu, Ahmad Shabery berkata persetujuan semua
pihak juga harus diambil kira demi manfaat persatuan-persatuan sukan di seluruh
negara untuk tempoh jangka panjang.

“Kajian terperinci dan persetujuan pihak terbabit perlu diambil kira menerusi pewujudan pelan berkonsepkan meremajakan persatuan sukan agar pelaksanaannya memberi impak positif tidak hanya kepada atlet malah untuk masa depan pembangunan sukan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan Majlis
Sukan Negara (MSN) bahawa sudah sampai masanya supaya peraturan untuk setiap
pemegang jawatan dalam persatuan sukan kebangsaan dihadkan tempoh hanya kepada lapan tahun bagi memastikan pembangunan dan kemajuan sukan negara tidak terbantut.

Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong dipetik sebagai mengulas
mengenai desakan peminat bola sepak negara yang mahu Presiden Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah meletak jawatan selepas didakwa gagal
meningkatkan sukan nombor satu negara itu sejak menerajui badan induk berkenaan 28 tahun lalu.

Terdahulu, Ahmad Shabery menghadiri majlis makan malam sempena program Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia di Restoran Makanan Laut Beringis, di sini, malam tadi.

Karnival selama tiga hari itu anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan,
Jabatan Belia dan Sukan Sabah dan Astro yang turut dihadiri Timbalan Menteri
Kesihatan yang juga Anggota Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan memperuntuk lebih
RM4 juta dalam usaha membangunkan pelbagai program belia di negeri ini pada
tahun lepas.

Katanya, peruntukan itu membuktikan kerajaan komited mengiktiraf peranan dan
sumbangan belia di Sabah bagi melahirkan lebih ramai belia berpotensi, berdaya
saing menerusi idea kreatif dan inovatif selain berpandangan jauh menerajui
kepimpinanan negara pada masa depan.

Sementara itu, Rosnah berkata program Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia itu
merupakan platform terbaik bagi memperkasa dan memberi peluang kepada belia
mempamerkan bakat dan potensi diri menerusi pelbagai aktiviti sukan dan kepimpinan. – BERNAMA