Connect with:




Menurut laporan yang dikeluarkan Korea Football News, terdapat berita baik untuk pemain-pemain negara untuk berhijrah ke Korea Selatan untuk bermain di Liga Korea Selatan (K-League) musim hadapan.

Ini kerana menurut laporan tersebut K-League akan memperkenalkan kuota pemain import Asia Ternggara (Asean) pada 2020 seterusnya bakal membuka peluang kepada pemain Malaysia beraksi di Korea.

Korea telah mengikut jejak langkah negara jirannya, Jepun yang telah membuka peluang kepada pemain terbaik Asean untuk beraksi dalam saingan Liga Jepun (J-League). Tetapi berbeza dengan Jepun kerana Liga Jepun meletakkan kouta pemain Asean sebagai ‘J-League Nation Partner’, ini bermaksud pemain-pemain dari negara yang mempunyai ‘J-League Nation Partner’ dengan Jepun dikategorikan sebagai pemain tempatan dan bukanya pemain import.

Pemain Vietnam, Nguyen Cong Phuong yang beraksi bersama Incheon United dalam Divisyen 1, K-League.
Foto: Incheon United

Sebelum ini, K-League hanya membenarkan empat pemain import sahaja iaitu tiga pemain bukan dari benua Asia dan seorang pemain wajib dari Asia. Maka dengan penambahan kouta pemain Asean, kelab di K-League bakal mempunyai lima pemain import pada musim hadapan.

Pada awal musim lalu, pasukan K-League, Incheon United telah berjaya menandatangani penyerang kebangsaan Vietnam, Nguyen Cong Phuong secara pinjaman selama setahun dari Hoang Anh Gia Lai. Oleh itu, Vietnam sudah berjaya membawa pemain mereka yang beraksi di saingan Divisyen Satu K-League.

Cong Phoung yang beraksi cemerlang dengan membantu Vietnam untuk muncul juara Piala AFF Suzuki 2018 ketika menewaskan Malaysia dengan agregat 3-2. Selain itu, beliau juga merupakan tunjang kepada kejayaan Vietnam yang mara ke suku akhir Piala Asia 2019.

Foto : K League United

Selain itu, K-League juga bakal mendapat penajaan baharu serta hak penyiaran ke negara-negara Asean jika berjaya menandatangi pemain Asean seperti kejayaan J-League setelah kedatangan Chanathip Songkrasin yang bermain bersama Consadole Sapporo dalam saingan Divisyen Satu J-League.

Bagi pemain Malaysia mungkin ini adalah waktu tepat untuk membuktikan bahawa pemain Malaysia juga mampu bermain di luar negara. Terutamanya pemain Malaysia Bawah 23 tahun yang tidak perlu disangkalkan lagi kualiti yang ada pada mereka.

Jika kualiti yang ditunjukkan seperti kelayakan Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun 2020 yang lalu sudah pasti akan membuka mata kelab-kelab di K-League terutamanya bintang muda seperti Safawi Rasid, Syahmi Safari dan Akhyar Rashid yang baru sahaja dinobatkan tiga pemain muda tempatan termahal.

Malaysia Bawah 23 Tahun
Foto: FAM

Malah aksi cemerlang Safawi ketika membantu kelabnya Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan tersenarai sebagai 10 pemain muda terbaik ACL 2019, tidak mustahil beliau bakal menjadi buruan kelab di K-League musin hadapan.

Jika ia menjadi kenyataan, sudah pasti akan meningkatkan kualiti pemain-pemain tempatan untuk membantu Malaysia melangkah lebih jauh serta memperbaiki kedudukan rangking bola sepak negara ketika ini.

Foto: K League United