Connect with:




Juventus semakin menghampiri kejuaraan Liga Serie A selepas menewaskan pencabar utama, Napoli 2-1 di tempat lawan awal pagi tadi.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 26 perlawanan liga sekaligus melebarkan penguasaan 16 mata di hadapan dengan berbaki 12 perlawanan.

Dalam perlawanan itu, dua kad merah dilayangkan oleh pengadil perlawanan, Gainluca Rocchi kepada penjaga gol Napoli, Alex Meret dan pemain tengah Juventus, Miralem Pjanic.

Dua gol Juventus hadir pada babak pertama hasil daripada sepakan percuma di luar kotak penalti Pjanic pada minit ke-28 selepas Meret menerima kad merah setelah mengasari Cristiano Ronaldo.

Enam minit sebelum tamat separuh masa pertama, Juventus memperolehi jaringan kedua yang disudahkan Emre Can melalui tandukan selepas menerima hantaran daripada Federico Bernardeschi untuk mengukuhkan kedudukan.

Napoli menggunakan kesempatan selepas Pjanic dilayangkan kad kuning kedua untuk merapatkan jurang kepada 2-1 selepas Jose Callejon menolak masuk hantaran lintang Lorenzo Insigne.

Napoli gagal menyamakan kedudukan apabila Insigne gagal menyempurnakan sepakan penalti hasil daripada bantuan VAR selepas hanya menggegar tiang gol Juventus.

Juventus kini sudah sebelah kaki untuk merangkul kejuaraan Serie A kelapan berturut-turut dan ke-35 sejak tahun dipertandingkan pada 1898. – Reuters

Foto : Juventus.com