Connect with:




Pemain pertahanan senior Juventus, Andrea Barzagli berkata beliau dan rakan sepasukan yang lain tidak merasa gusar meskipun sudah mengharungi 3 perlawanan liga namun bintang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo masih belum mencetak gol pertama rasmi untuk skuad “The Old Lady”.

Beliau berkata seluruh pasukan Juventus akan berkerja keras untuk memastikan kapten Portugal itu mencetak gol sulung beliau bersama kelab barunya itu.

“Saya yakin dia (Cristiano) sangat dahagakan gol malah kami sebagai rakan sepasukan pastinya akan membantu beliau.

“Diharapkan semua penyokong bersabar serta memberikan sokongan penuh buat Cristiano malah saya yakin setelah berjaya mencetak gol pertama kelak pasti beliau akan kembali menyengat”, kata Barzagli.

Tiba di Turin dengan tanda harga kira-kira 105 juta euro (RM494.65 juta), Cristiano tampil dalam tiga perlawanan liga Seria A Itali dengan merekodkan 23 percubaan namun masih belum berhasil untuk menembusi pintu gol lawan.

Meskipun Cristiano belum menjaringkan gol buat pasukan barunya itu, Juventus masih kekal berbisa mencipta tiga kemenangan berturut-turut dan berada di puncak Seria A ketika ini.