Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM) telah memutuskan bentuk hukuman yang akan dikenakan terhadap pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan 2011, melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Hukuman yang diwarwarkan melalui kenyataan media tersebut adalah atas hasil siasatan Jawatankuasa Tatatertib FAM yang mendapati wujudnya unsur-unsur rasuah dan polemik mengatur perlawanan yang melibatkan pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan pada saingan tahun 2011.

Ketua Jurulatih pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan 2011, Yusarman Yusof, menerima hukuman gantung seumur hidup daripada terlibat dengan aktiviti bola sepak dan rayuan bertulis hanya boleh dilakukan setelah menjalani hukuman selama 10 tahun.

Manakala pemain yang digantung selama 5 tahun dan tidak boleh terlibat dengan semua aktiviti bola sepak di peringkat kebangsaan ialah Muhammad Zaidi Othman, Hamirul Fahami Abu Yazid, Anwarul Hafiz Ahmad, Muhamad Haikal Nazri, Suhairy Johari, Mohd Rizqi Azman, dan Mohd Hafiz Mohd Nor. Rayuan hanya boleh dibuat selepas menjalani satu tahun hukuman dan rayuan tersebut perlu dibuat secara bertulis.

Selain itu, terdapat beberapa pemain yang hanya digantung selama setahun dan tidak boleh terlibat dengan semua aktiviti bola sepak di peringkat kebangsaan. Pemain-pemainnya ialah Mohd Yatim Abdullah, Adrian a/l Davadas, Norhairi Abd Rahman dan Mohamad Zulfadhlie A’shari. Pemain yang digantung selama setahun ini tidak dibenarkan untuk membuat rayuan.

Di samping itu, semua pemain dan pegawai pasukan Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy, Johor MP Muar FC, dan T-Team bagi saingan 2011 digantung sementara sehingga ketetapan yang akan ditentukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang akan datang.