Connect with:




Jangan risau jika anda terlepas untuk membeli tiket ke perlawanan bola sepak Piala Dunia, hal ini kerana anda boleh merasai pengalaman atmosfera seolah-olah berada didalam stadium hanya di Fan Festival yang dianjurkan oleh FIFA!

Untuk pengetahuan anda, setiap kali bermula Piala Dunia FIFA akan menganjurkan festival dimana peminat-peminat bola sepak seluruh dunia akan berkumpul untuk melakukan aktiviti bersama. Selain itu, mereka juga menyediakan skrin gergasi khas bagi mereka yang tidak berkesempatan menonton di stadium.

Pintu masuk fan fest Moscow

Krew DSTerjahRusia berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman berada di FIFA Fan Festival ketika berada di Moscow. Lokasi FIFA Fan Fest Moscow adalah di Vorobyovy Gory (Sparrow Hills) berhampiran dengan Stadium Luzhniki. Malahan, dari sana juga anda boleh menikmati pemandangan indah sebelah sisi atas Stadium Luzhniki.

Disini semua peminat bola sepak tidak kira tempatan mahupun luar negara akan berkumpul untuk meraikan satu cinta yang sama, iaitu bola sepak. Kebiasaannya konsert akan diadakan pada ‘matchday’ dan juga pada separuh masa.

Kami berpeluang untuk berjumpa dan berkenalan dengan ramai pencinta bola sepak tidak kira bangsa dan agama. Lebih menarik, walaupun mempunyai masalah komunikasi antara satu sama lain, ia tidak menghalang kami dan peminat-peminat lain untuk bersorak dan bergembira ketika menonton perlawanan bola sepak.

Peminat tempatan ditemuramah oleh MetroTv Indonesia

Peminat bergembira ketika konsert artis tempatan sedang berlangsung. Mereka tidak faham pun lirik lagu.

Antara peminat yang hadir

Kawasan sekeliling fan festival pada jam 10 malam. Belum gelap lagi.

Terdapat juga gerai-gerai yang menjual minuman dan makan ringan bagi mereka yang lapar ketika ‘berpesta’ di Fan Festival itu. Namun apa yang kami perasan adalah hanya pembekal makan dan minuman rasmi sahaja yang dibenarkan untuk berada didalam kawasan festival itu seperti contoh Coca-Cola, Budweiser dan Yadea. Harga juga agak mahal berbanding luar kawasan festival.

Selain itu, didalam kawasan fan festival itu juga terdapat kedai cenderamata rasmi dari FIFA iaitu FIFA Official Fan Shop. Anda boleh mendapatkan cenderahati rasmi dari FIFA disini hanya yang original dan tulen sahaja tau!

Sebelum bergerak pulang semula ke hotel, kami sempat menonton perlawanan diantara Iran dan Portugal disitu. Satu pengalaman yang tidak akan dilupakan untuk berada di FIFA Fan Festival.

 

Ikuti pengalaman kami di FIFA Fan Fest Moscow dalam video siri DSTerjahRusia ini dan nantikan jurnal-jurnal seterusnya!