Connect with:




Sila hormati kelab AS Roma! Itu adalah permintaan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp meminta peminat Liverpool untuk bersikap baik dan menghormati AS Roma yang bakal bertandang ke Anfield  aksi separuh akhir Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Dalam pada itu, Liverpool sedang disiasat UEFA selepas penyokong mereka melakukan rusuhan dengan membaling objek ke bas Manchester City sekaligus mengakibatkan kerosakan sebaik pasukan pelawat tiba untuk aksi pertama suku akhir di Anfield, bulan ini.

Beliau mengharapakan tingkah laku penyokong kelab tersebut dapat dijaga semasa di luar stadium namun memberikan semangat dan sorakan yang bertenaga dari semua penyokong Liverpool di dalam stadium.

“Kami menjangkakan suasana yang seronok semasa perlawanan berlangsung. Tunjukkan rasa hormat pada pihak lawan,” kata Klopp.

“Kita merupakan sebuah kelab bola sepak yang hebat dan ibarat sebuah keluarga. Jangan membaling apa sahaja ke aras bas Roma. Biar kita bermusuh di dalam padang sahaja. Kami tahu, penyokong Liverpool sememangnya bijak.

“Kalau Rome mempunyai tempat yang menarik, mereka perlu tahu betapa Liverpool turut indah. Ayuh, tunjukkan kepada mereka keindahan Liverpool dalam tempoh 20 minit.

“Kita hanya bermusuh di padang. Semua orang tahu Rome sebuah tempat yang menarik dan tidak ramai tahu betapa indahnya Liverpool dan kita boleh menunjukkannya dalam tempoh 20 minit,” katanya.

Sementara itu, Klopp beranggapan peminat Liverpool cerdik dan tahu mengenai pentingnya membina suasana yang terbaik buat pasukannya.

“Mereka mencipta suasana yang istimewa dalam dunia bola sepak. Saya tidak tahu jika ia boleh menjadi lebih baik berbanding menentang Man City namun jika ia boleh dilakukan, ayuh kita cuba,” kata Klopp. – Reuters

Foto Kredit: Liverpool FC