Connect with:




ONE: MARK OF GREATNESS yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada 6 Disember ini menjadi pentas untuk jaguh MMA Malaysia, Muhammad Aiman meneruskan momentum kemenangannya dalam siri MMA terbesar Asia, ONE Championship ini.

Aiman yang berasal dari Negeri Sembilan masih segar dengan kemenangan ke atas Sunoto dari Indonesia dalam penampilan terakhirnya di ONE pada Ogos lalu di Manila.

Berbekalkan rekod 6 kemenangan dan 3 kekalahan, petarung yang turut dikenali sebagai ‘Jungle Cat’ ini mahu meneruskan kecemerlangan dalam pertemuan menentang Rui Chen nanti.

Rui Chen merupakan pertarung ketiga dari China yang akan menguji kekuatan Aiman. Dua rakan senegaranya iaitu Lei Chen dan Fei Yang gagal untuk mengatasi Aiman sebelum ini. Walaupun memiliki rekod baik ke atas pertarung dari negara Tembok Besar ini, Aiman tetap mahu berjaga-jaga dan tidak terlampau yakin sehingga mampu menjejaskan persembahannya.

“Berdasarkan pengalaman, berlawan dengan peserta dari China ini sebenarnya bukan satu perkara yang mudah.

“Pertarung dari China ini mempunyai satu karakter tidak mahu mengalah dan tidak penat. Mereka akan menyerang dan terus menyerang hingga boleh membuatkan kita hilang arah.

Penampilan Aiman di Kuala Lumpur ini juga mahu dijadikan sebagai satu batu loncatan dalam mengumpulkan lebih ramai peminat di negara sendiri.

“Saya berlatih bersama Bali MMA di Bali jadi memang tidak ada kesempatan untuk melakukan aktiviti-aktiviti bersama peminat. Jika dibandingkan dengan bintang-bintang MMA Malaysia yang berlatih di negara sendiri, mereka sudah ada kelompok peminat yang semakin besar.

“Jadi saya mahu ambil peluang bertarung pada 6 Disember ini untuk memperkenalkan diri kepada peminat-peminat MMA yang baharu selain mengukuhkan nama saya dalan sukan ini di Malaysia” jelasnya lagi.

ONE: Mark of Greatness yang berlangsung pada 6 Disember ini akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil.