Malaysia akhirnya melakar kembali gelaran juara sekali gus memadamkan penantian selama empat tahun pada Kejohanan Badminton Remaja Asia 2017 di Pusat Latihan Jaya Raya Jakarta, Indonesia semalam.

Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao meraih kemenangan apabila berjaya menewaskan pemain China, Bai Yupeng dengan catatan 21-6, 20-22, 21-17 pada perlawanan akhir.

Kali terakhir Malaysia muncul juara dalam acara tersebut adalah menerusi Soo Teck Zhi pada edisi 2013 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah dan Zulfadli Zulkiffli pula melakukannya pada edisi 2011 di Lucknow, India.

Jun Hao, 18, bertungkus lumus dalam pertarungan selama satu jam 14 minit berhadapan tentangan sengit daripada Yupeng sebelum memastikan kejuaraan menjadi miliknya.

Menurutnya, dia ternyata gembira dengan kemenangan tersebut, namun menegaskan dia telah melakukan beberapa kesilapan mudah terutamanya pada set kedua sehingga membolehkan pemain lawan mengutip mata mudah.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan pada hari ini (semalam) kerana segala persiapan yang dilakukan sebelum menghadapi kejohanan ini membawa pulangan yang sangat berbaloi.

“Saya tukar taktik pada set ketiga dan ia ternyata membuahkan hasil,”katanya.

Jun Hao bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar dan belajar bagaimana mengendalikan tekanan apabila beraksi di pentas yang lebih tinggi.

“Secara keseluruhan saya gembira dengan prestasi saya di sini. Saya tahu tanggungjawab akan menjadi lebih besar selepas ini, jadi saya harap mampu untuk berdepan tekanan yang lebih tinggi,” tambahnya.

Pemain pilihan keenam kejohanan yang menjadikan Datuk Lee Chong Wei sebagai idolanya itu bakal beraksi pada Grand Prix Antarabangsa Remaja Terbuka India bulan depan dan dia berharap mampu mengekalkan aksi terbaik.