Melakar sejarah selaku atlet pertama negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan, Julian Yee percaya lebih ramai atlet dari Malaysia akan beraksi pada temasya itu pada masa depan.

“Saya percaya dengan pemikiran yang betul dan berusaha keras, saya rasa pada masa hadapan bukan saja kita akan beraksi dalam dua jenis sukan saja tapi mungkin sukan lain juga.

“Mungkin juga ada dua atlet layak beraksi dalam satu jenis sukan,” kata peluncur ais itu selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja’afar semalam.

Buat julung kalinya, Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Musim Sejuk dengan kontinjen negara diketuai Datuk Mumtaz Jaafar dan Julian diberi tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang dan seorang lagi atlet, Jeffrey Webb akan beraksi dalam sukan alpine skiing.

Julian, 21, yang berpangkalan di Kanada dan mendapat bimbingan Michael Hopfes berkata, dia berbangga kerana diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang pada majlis pembukaan Jumaat ini dan menyifatkan motivasi kepadanya untuk beraksi lebih baik.

Sumber: Harian Metro