Connect with:




Setelah mengetepikan lebih 400 peserta dalam kejohanan yang memakan masa selama 72 jam, Muhammad Uzair S Abdul Nasir Khan yang pertama muncul ke garisan penamat dengan catatan masa 20 minit (m) 41 saat (s) dinobatkan selaku juara dalam  Kejohanan Toyota Velocity Esport yang berlangsung bermula 21-23 September di bahagian Blue Atrium, Sunway Pyramid semalam.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung petang kelmarin, Uzair mengetepikan cabaran Mior Muhammad Hafiz Mior Lahmudin (20m 48s)dan Aiman Haziq Aidi (20m 52s) yang berpuas hati di tempat 2 dan 3.

“Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya, lawan yang saya hadapi semuanya berpengalaman namun nasib jelas bersama saya.

“Saya harap ini bukan kali terakhir acara e-sukan melibatkan sukan perlumbaan diadakan dan harapnya ini adalah permulaan untuk menjadikannya acara tahunan,” katanya yang ditemui sejurus selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.

Selaku juara, Uzair membawa pulang wang tunai sebanyak RM20 000 berserta pingat dan trofi kejuaraan.

Sementara Mior dan Aiman masing-masing  membawa pulang RM10 000 dan RM5 000 berserta pingat.

Peserta yang meraih tempat ke 4 hingga 10 juga tidak pulang tangan kosong apabila masing-masing menerima ganjaran saguhati sebanyak RM1000 setiap seorang.

Terdahulu telah berlangsung acara “Exhibition Race” melibatkan selebriti-selebriti Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) yang terdiri dari Diana Danielle, Janna Nick, Shawn Lee, Syukri Yahaya, Aiman Tino, Khai Bahar, Nabila Razali, Wani Hasrita, Akim Ahmad dan Nabil Ahmad.