Connect with:




Roger Federer terpaksa berkerja keras ketika berhadapan pemain Romania, Marius Copil yang merupakan pemain dari pusingan kelayakan dengan keputusan 7-6, 7-5, 6-4 dalam perlawanan akhir Kejohanan Dalam Dewan Switzerland di Basel bagi mengesahkan gelaran ke-99 buat dirinya dalam Jelajah ATP.

Copil dilihat berjaya memberi tekanan kepada Federer apabila mendahului di setiap awal set. Namun Federer yang merupakan pemenang Grand Slam sebanyak 20 kali itu berjaya bangkit bagi memastikan gelaran kesembilan buat dirinya di laman sendiri. Kejayaan itu menyaksikan Federer kini hanya selangkah untuk mencipta kejuaraan ke-100 sebelum musim ini berakhir.

“Sembilan kejuaraan merupakan jumlah yang sangat besar. Minggu yang cukup luar biasa buat saya, mimpi telah menjadi kenyataan.

“Jika ditanya mengenai rekod, ia adalah minggu yang penting buat saya dan untuk muncul juara beberapa kali di sini memang sesuatu yang luar biasa,” kata Federer.

Federer telah merekodkan 20 kemenangan berturut-turut di kejohanan berkenaan serta telah mara ke pentas akhir buat kali ke-12 di Basel.

“Meraih kemenangan memang sesuatu yang menggembirakan malah ianya mampu memberi seseorang itu keyakinan dan itu yang saya perlukan jika mahu kekal beraksi baik di London.

“Buat masa ini ia cuma mengenai kemenangan di sini (Basel), saya tidak berminat perkara mengenai perkara lain. Apa yang saya maksudkan ialah penonton seluruh dunia kerana saya gembira dapat mencatat kemenangan di depan penyokong sendiri,” jelas lagenda Switzerland itu.

Dalam pada itu turut mencuri tumpuan adalah Copil, yang kini pada ranking 93 dunia bermain dalam perlawanan terbesar sepanjang kariernya setelah mara dari pusingan kelayakan.

Copil mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan keenam, Marin Cilic dan seterusnya mencipta kebangkitan menakjubkan bertemu pilihan ketiga, Alexander Zverev di separuh akhir dan akhirnya berdepan ‘raja’ dalam perlawanan akhir.

“Minggu ini saya mempamerkan persembahan yang baik. Saya berhasil meraih keyakinan diri dan sedar akan kemampuan saya untuk beraksi di peringkat lebih tinggi bersama pemain ternama.

“Saya sangat teruja unutk melihat apa yang bakal saya raih di masa hadapan tapi buat kejohanan ini, inilah penamatnya,” ujar pemain asal Romania itu.

 

Foto : Facebook ATP World Tour

Sumber : Fox Sports