Marcin Matkowski dan Mariusz Fyrstenberg dijangka menjadi pilihan utama acara beregu

 

Juara 2009, Marcin Matkowski dan Mariusz Fyrstenberg dijangka menjadi pilihan utama acara beregu Tenis Malaysia Open Kuala Lumpur 2012 dengan pasangan Poland ini berada dalam prestasi terbaik selepas menduduki kedudukan ke-7 dalam perebutan ke London World Tour Finals. Pasangan yang memenangi Madrid ATP Master 2012 ini kembali beraksi di Kuala Lumpur selepas kali terakhir melakukannya pada 2010, dimana mereka bergelar naib juara pada edisi tersebut.

Pengarah Kejohanan, Nick Freyer berkata, “Kami mengalu-alukan kedatangan semula Marcin dan Mariusz ke Kuala Lumpur. Mereka ternyata gembira beraksi di Malaysia. Namun saya pasti laluan mereka ke akhir tidak mudah memandangkan kali ini kejohanan berjaya mengumpulkan pasangan-pasangan terhebat dunia”.

Kejohanan kali ini turut menampilkan keupayaan pemain perseorangan untuk bermain dalam acara beregu seperti Juan Monaco; pemain ranking ke-11 dunia yang akan bergandingan dengan jaguh Austria, Jurgen Melzer yang menjuarai acara beregu di Wimbledon dan US Open tahun lepas.

Sementara itu, wakil Asia dari Filipina, Treat Conrad Heuy akan bergandingan dengan Dominic Inglot dari Britian. Pasangan ini antara yang perlu diberi perhatian berdasarkan pencapaian cemerlang mereka tahun ini; juara ATP 500 Washington, finalis di Houston, separuh akhir di Newport serta suku akhir di Estoril dan Bucharest. Pasangan-pasangan lain yang turut menyertai kejohanan adalah Alexander Peya / Bruno Soares (suku akhir US Open 2012), Julian Knowle / Filip Polasek (suku akhir US Open 2012) serta Colin Fleming / Ross Hutchins (16 terbaik US Open 2012).

Sementara itu, acara perseorangan akan diketuai pemain nombor 5 dunia, David Ferrer yang berjaya mara ke separuh akhir US open minggu lalu. Ferrer akan terus ke Kuala Lumpur selepas beraksi untuk Sepanyol di Piala Davis minggu ini dan penganjur mengesahkan beliau akan memulakan cabaran pada Khamis petang, 27 September. Menyertai Ferrer di acara perseorangan nanti adalah Juan Monaco, Alexandr Dolgopolov, Kei Nishikori, Sam Querry, Feliciano Lopez dan ramai lagi bintang tenis dunia.

Tennis Malaysian Open Kuala Lumpur 2012 ini mendapat sokongan dari Kementeiran Pelancongan Malaysia dan Tourism Malaysia. Kejohananturut mendapat tajaan dari  Rado, DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur, CNN International, Astro, Wilson, 100 Plus, Corona, The ATP World Tour’s Premier Partner, dan disahkan oleh Persatuan Lawn Tennis Malaysia. Ticket kejohanan boleh didapati dilaman web www.MalaysianOpenTennis.com