Juan Monaco hadapi tentangan sengit Nishikori

 

“Ia merupakan satu perlawanan yang sukar. Saya menguasai set pertama, dan kemudiannya Nishikori menguasai set kedua. Set ketiga benar-benar sengit”.

Itulah ungkapan Juan Monaco yang mengharungi perlawanan paling mendebarkan sepanjang kejohanan. Monaco melangkah ke final selepas menewaskan pilihan ketiga, kei Nishikori 6-2, 2-6, 7-6 yang mengambil masa selama 2 jam 42 minit permainan.

Monaco pilihan ke-2 kejohanan jelas menunjukkan kekuatan mentalnya selepas bangkit di set penentuan pada ketika Nishikori kelihatan hampir pasti untuk menang dengan mendahului 5-2.

“Anda tidak akan tahu apa yang akan terjadi. Saya cuma berjuang untuk setiap mata dan fokus untuk kekal dalam permainan” jelas Monaco yang menduduki ranking ke-11 dunia ketika ini.

Kesakitan buku lali dan lutut jejas persembahan Nishikori

 

Bagi Nishikori, kesakitan dibahagian buku lali dan lutut yang dialami di set kedua sedikit sebanyak menyumbang kepada kekalahannya namun menegaskan beliau berhasrat untuk terus beraksi di Malaysia pada edisi akan datang.

“Saya gembira bermain di sini. Layanan yang diberi cukup memuaskan. Ramai peminat dari Jepun yang datang menyokong saya dan ramai juga penonton yang hadir” jelas pemain nombor 1 asia ini.

Sementara itu dalam aksi beregu, pilihan ke-3 Alexander Peya – Bruno Soares menewaskan pillihan ke-2, Daniele Braciali – Marcelo Melo  7-6, 6-1 untuk membawa mereka ke final bertemu dengan pasangan Great Britain, Colin Fleming – Ross Hutchins.

Final beregu ini akan bermula 2.15 Ahad ini sebelum Juan Monaco dan Julien Benneteau mengambil tempat untuk final perseorangan.