Juan Monaco (kiri), cari kejuaraan ketiga

 

Pemain Argentina, Juan Monaco berharap penampilan kali pertama di Malaysian Open Kuala Lumpur 2012 mampu menghadiahkannya kejuaraan ketiga tahun ini selepas memenangi kejuaraan di Chile, Houston dan Hamburg.

Pemain ranking ke-11 dunia yang menjadikan bekas bintang tenis Argentina,  Mariano Zabaleta sebagai idolanya ini nyata teruja untuk beraksi di Kuala Lumpur dan mahu memberi aksi terbaik dalam kejohanan ini.

“Saya gembira diberi peluang beraksi pertama kali di Malaysia. Saya mengalami perjalanan yang panjang untuk ke Kuala Lumpur dari Buenos Aries namun selepas berehat 2 hari disini, saya kini sudah rasa selesa dan bersemangat untuk turun ke gelanggang” ujar Monaco yang ditemui selepas sesi bergambar dengan salah seorang pencabarnya, David Ferrer di ruang helikopter Hotel DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur.

Kejuaraan di Malaysia ini pastinya mampu mengukuhkan lagi sukan tenis di negaranya, Argentina.

“Bolasepak sukan utama di Argentina dengan Maradona dan Messi menjadi ikon utama rakyat kami. Namun tenis juga semakin mendapat tempat disini. Semua ini terbukti melalui sokongan peminat yang kuat walaupon kami kalah semasa aksi Piala Davis menentang Republik Czech minggu lalu” kata peminat pasukan Estudientess La Plata ini.

Juan Monaco yang juga pilihan ke-2 kejohanan akan memulakan aksi menentang Jimmy Wang dari Taiwan pada aksi pusingan 16 terbaik nanti.