Connect with:




Bekas pelumba berbasikal trek negara, Josiah Ng telah membuka akademi berbasikal di Kota Damansara bagi membantu golongan muda terutamanya dalam sukan berbasikal menerusi aplikasi e-cycling.

Bekas Olimpian Negara itu telah berjaya merealisasikan hasratnya untuk membuka akademi berbasikal sebagai mata pencariannya serta perkongsian pengalaman yang beliau ada.

Josiah berkata beliau perlu bangkit bagi membantu negara dalam mendapatkan bakat-bakat baharu berbasikal untuk mewakili negara khususnya dalam acara pecut.

“Menggunakan flatform yang sedia ada iaitu ‘e-cycling’ mungkin dapat mencari bakat pelapis sukan berbasikal untuk masa hadapan dengan perkongsian pengalaman yang saya ada.

“Jika dilihat terutamanya di bandar besar yang pesat dengan kesesakan lalu lintas ia akan menyukarkan untuk menunggang basikal di luar tetapi dengan adanya studio ini akan memudahkan sesiapa sahaja untuk berbasikal,” jelas Josiah.

Tambah Josiah, kerjasama dengan VeloStudio di Kota Damansara ini akan memberi suasana yang sama dan peserta dapat merasai kelajuan, kekuatan serta trek yang dilalui sama seperti yang sebenar.

“Menariknya peserta bakal merasai laluan trek yang sama seperti Le Tour de France dan Le Tour de Langkawi yang mampu memberikan pengalaman kepada peserta,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata negara sedang mencari golongan muda dalam sukan berbasikal bermula di peringkat sekolah lagi.

“Untuk mendapatkan kegiatan golongan muda dalam sukan berbasikal sangat susah terutamanya di luar bandar tetapi dengan wujudnya ‘e-cycling’, ia mampu menarik golongan muda untuk bergiat dalam sukan ini.

“Malah, ia mampu memberi persepsi positif kepada masyarakat terhadap e-sukan selain menyokong menjayakan hasrat kerajaan dalam meningkatkan sukan negara,” jelas Syed Saddiq ketika sidang media perasmian Akademi Basikal bersama Josiah Ng dan Velostudio di Kota Damansara hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Bekas pelumba berbasikal trek negara, Josiah Ng menerangkan kelebihan ‘e-cyling’ kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika majlis perasmian Akademi Josiah Ng di Kota Damansara.

Josiah pernah bertanding di Sukan Olimpik sebanyak tiga kali iaitu pada 2004, 2008, dan 2012.

Selepas bersara sebagai pelumba, Josiah memulakan kerjaya sebagai jurulatih dan telah dilantik sebagai ketua jurulatih skuad berbasikal trek Thailand awal tahun lalu sehingga berjaya membantu Jai Angsuthasawit meraih pingat emas acara keirin dalam Sukan Asia di Indonesia tahun lalu.

Berkenaan mengenai kelas dalam Akademi Josiah Ng ini, ia akan dilangsungkan selama 8 minggu bermula 5 Mac ini. Kelas tersebut terbuka kepada semua lapisan umur. Bagi mereka yang berminat, anda boleh layari www.velostudio.cc untuk maklumat lanjut.