Connect with:




Petinju muay thai negara, Mohamad bin Mahmoud merupakan kelahiran Alor Star, Kedah namun membesar sejak kecil di Kuala Lumpur.

Jika mengikut tempat asalnya, mungkin Mohamad boleh menggunakan ‘KEDAH BOY’, ‘ALOR STAR BOY’ atau ‘KL BOY’ sebagai nama gelanggangnya. Namun begitu, Mohamad memilih ‘JORDAN BOY’ untuk dibawa ke dalam gelanggang.

Mengapa agaknya?

“Sebenarnya sebelum ini orang memanggil saya sebagai SILENT KILLER kerana sering menewaskan lawan menerusi kemenangan KO.

“Saya tak berapa gemar gelaran tersebut sebaliknya saya memilih nama JORDAN BOY. JORDAN BOY adalah tanda kasih dan pengikitrafan saya terhadap ayah saya, Mahmoud Omar yang berasal dari Jordan” jelas Mohamad.

Ketika sesi bersama media yang dianjurkan ONE CHAMPIONSHIP minggu lalu di Damansara, Mohamad hadir ditemani kedua ibubapanya dan adik beradik yang turut aktif dengan sukan muay thai. Jelas sekali mereka sangat berbangga melihat Mohamad bakal beraksi di dalam gelanggang siri MMA terbesar di Asia itu.

“Saya sangat gembira bila ONE menawarkan peluang untuk beraksi. Bukan mudah untuk atlet muay thai dari Malaysia mendapat peluang sebegini” katanya yang aktif dalam sukan ini hanya pada 4 tahun yang lalu.

Pada 7 Disember nanti, Mohamad akan menentang Stergos Mikkios dari Greece di Axiata Arena sempena ONE: DESTINY OF CHAMPIONS dalam aksi ONE Super Series Muay Thai.

“Mikkios memang mempunyai kelebihan dari segi pengalaman. Dia sudah beraksi dua kali sebelum ini di ONE dan menang kedua-dua pertarungan.

“Bagaimanapun saya tidak mahu jadikan itu alasan. Memang kebanyakan lawan yang saya tumbangkan adalah dari Malaysia tetapi tidak bermakna saya kurang pengalaman menentang petinju luar. Bulan September yang lalu, saya berjaya tewaskan tiga petinju iaitu dari Thailand, Syria dan Australia.

“Saya percaya saya boleh menewaskan dia. Saya hanya mahukan kemenangan dalam penampilan pertama saya nanti” katanya yang menjuarai banyak kejuaraan tempatan dan antarabangsa seperti Kuda Merah dan Borneo Sabah.

Bagi mereka yang ingin melihat aksi pertama Mohamad di ONE CHAMPIONSHIP, anda berpeluang untuk mendapat 10 pasang tiket bernilai RM70 sekeping dan satu hadiah utama iaitu sepasang tiket VIP bernilai RM390 sekeping untuk acara ONE: DESTINY OF CHAMPIONS menerusi peraduan Dunia Sukan- Destiny Of Champions. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai peraduan ini, layari https://duniasukan.com/menangi-tiket-ke-one-destiny-of-champions-pada-7-disember-ini/