Connect with:




Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika ibubapa mahukan anak-anak mereka menjadi seperti Azizulhasni Awang satu ketika nanti, sudah tentu mereka perlu mendedahkan anak-anak dengan sukan tersebut.

Bukan sahaja dengan memberi mereka menonton aksi perlumbaan, ibubapa juga boleh melatih anak-anak dengan menghadiahkan basikal. Bagi mereka yang berusia 6 tahun ke atas, mungkin basikal yang mempunyai pedal sudah sesuai untuk ditunggangi.

Bagaimana pula bagi kanak-kanak yang berusia 2 hingga 6 tahun?

Untuk lingkungan umur sebegini, basikal strider adalah yang paling sesuai. Basikal sebegini memberi asas kepada kanak-kanak kecil ini untuk membiasakan diri dengan basikal sebenar apabila mereka sudah bersedia. Basikal ini direka untuk mengajar bagaimana untuk mengemudi dan mengimbangi dua roda. Apabila asas keseimbangan dan stereng dikuasai, peralihan ke basikal dengan pedal adalah lebih mudah.

Cuba tengok video di bawah. Comel bukan? Bukan sekadar kecomelan semata-mata tetapi inilah pentas buat kanak-kanak kecil ini bertatih mengenali basikal.

Pada 26 Ogos ini di tempat letak kereta B Wangsa Walk, akan berlangsung pusingan kesepuluh Strider Cup. Terdapat enam kategori dianjurkan iaitu kategori 2 tahun, 3 tahun, 4 tahun, 5 tahun, terbuka (sehingga 6 tahun sahaja).

Juara dunia basikal tolak yang muncul warganegara Malaysia pertama menjuarai Piala Strider peringkat dunia di Colorado, Julai lalu, Imran Ismail akan turut sama dalam acara ini sambil menunjukkan demo tunggangannya kepada penonton.

Untuk mereka yang inginkan maklumat lebih lanjut mengenai acara ini atau mengenai basikal tolak boleh dilayari di laman facebook Strider Malaysia.