Selepas mendapat sambutan hangat pada edisi yang berlangsung di Pulau Pinang sebelum ini, Viper Challenge yang popular dengan acara lari merentasi halangan terbesar Asia akan diteruskan dan pada Ahad, 30 April ini Johor menjadi destinasi seterusnya.

Kali ini Sunway Iskandar Viper Challenge diadakan di Medini yang menjadi tuan rumah untuk tahun kedua berturut-turut kepada ribuan peserta. Pelbagai rintangan dan halangan yang lebih mencabar juga ditambah bagi memberikan ujian mental serta fizikal kepada semua peserta.

Selepas membuka tirai di Singapura pada tahun ini, Sunway Iskandar Viper Challenge@Medini pastinya menjanjikan pengalaman dan cabaran yang pastinya menguji ketahanan mereka yang menyertai siri ini. Selepas itu, peserta akan meneruskan lagi siri Viper Challenge di beberapa lokasi di Malaysia.

Sedikit berbeza Daripada siri yang dilangsungkan di Pulau Pinang sebelum ini, Viper Challenge di Johor akan bermula seawal 7 pagi berbanding sebelah malam di Pulau Mutiara itu.

Dengan lebih 9,000 tiket yang telah terjual dan 2,400 peserta dari Singapura sudahpun mengesahkan penyertaan, kawasan Sunway Iskandar seluas 700 ekar pastinya cukup luas untuk menguji peserta dengan pelbagai rintangan nanti.

“Ini adalah kali kedua Sunway menjadi tuan rumah kepada siri Viper Challenge. Sebagai pemaju komuniti yang utama, fokus kami bukan sahaja untuk membangunkan bandar tetapi sudah tentu mahu mewujudkan gaya hidup sihat kepada komuniti. Sunway Iskandar Viper Challenge juga adalah selari dengan komitmen kami kepada Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Gerard Soosay, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Iskandar.

Viper Challenge di Sunway Iskandar nanti akan meliputi jarak sejauh 15km dengan 18 halangan yang perlu dilalui peserta, tiga halangan lebih daripada siri yang berlangsung di Pulau Pinang. Seperti yang berlangsung sebelum ini, kerjasama sebagai satu pasukan sekali lagi bakal menjadi kunci penting kepada peserta untuk menamatkan saingan sekaligus meraih medal dan juga t-shirt.

Viper Challenge yang mendapat sambutan lebih 120,000 peserta tempatan dan antarabangsa sejak ianya dianjurkan adalah disokong oleh Malaysia Major Events, satu bahagian dalam Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).

“Untuk kepuasan peserta dari segi mental dan fizikal, kami juga menyediakan halangan yang lebih mencabar berbanding tahun lalu,” kata Selva Kumar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Original Bootcamp Sdn Bhd.

“Penekanan acara ini di Johor bukan untuk menguji ketahanan mental dan fizikal semata-mata tetapi juga kepada kesihatan serta kecergasan peserta,” tambahnya.

Viper Challenge mempunyai pelbagai format kepada orang ramai dan juga kepada peserta elit. Peserta dikehendaki untuk melengkapkan mana-mana tiga daripada lima siri – peringkat kelayakan (Singapura, Pulau Pinang dan Johor) atau acara peringkat pertengahan (Genting Highlands, Shah Alam) sebelum membuat perjalanan ke peringkat akhir, Great Eastern Viper Challenge.

Untuk semua peserta yang hardcore, mereka perlu melengkapkan tiga siri dan satu peringkat terkahir bagi mendapatkan medal Series Finisher.

Peminat tidak perlu bimbang jika mereka terlepas edisi Viper Challenge di Medini kerana selepas ini ia akan diteruskan pula di Genting Highland pada 15 Julai, 2017 dan kemudian ke Stadium Shah Alam pada 9 September 2017.

Lupakan rasa takut, jadikan ia sesuatu yang mengujakan!