Connect with:




Pemain Amerika, John Isner melakar sejarah dalam kariernya di final ATP Maters dengan memenangi Terbuka Miami buat pertama kali selepas menewaskan pemain Jerman Alexander Zverev 6-7 (4/7), 6-4, 6-4.

Kesengsaraan yang dialami Isner yang ketinggalan satu set akhirnya membuahkan hasil apabila dia bangkit menewaskan Zverev dalam tempoh dua jam 29 minit.

“Saya tidak menjangka perkara sebegini. Sepanjang tahun saya bermain dengan teruk sekali. Saya datang ke kejohanan, saya menang satu perlawanan ATP (Jelajah Dunia),” kata Isner.

Kemenangan itu melengkapkan kejohanan menakjubkan buat Isner, yang mengharungi permulaan sukar tahun ini termasuk tersingkir di pusingan pertama di Indian Wells sebelum hadir di Miami.

“Saya memenangi perlawanan pertama saya dalam tiga set dan itulah apa yang berlaku dalam tenis  – anda mula mendapat sedikit keyakinan dan seterusnya ia akan melancarkan pergerakan anda.”

Pemain pilihan ke-14 itu tewas tiga aksi final major pada tahun 2012, 2013 dan 2016, dan dia adalah pemain Amerika Syarikat pertama sejak Andy Roddick pada tahun 2010 menjulang kejuaraan di Miami.

Selain itu, Pemain nombor 17 dunia itu akan kembali ke kedudukan 10 teratas (tempat kesembilan) minggu depan selepas mencatatkan kemenangan terbesar dalam kerjayanya.

“Kini terpulang kepada saya untuk terus maju. Untuk melepasi halangan dalam kejohanan sebegini adalah sesuatu yang besar daripada segi mental buat saya.

“Kami melepasi halangan itu minggu ini. Saya tampil dalam setiap perlawanan dengan tenang dan segar. Saya mampu menjadi cabaran jika terus bermain dengan tenang,” katanya.

Foto Kredit: Sky Sport