Connect with:




Jerman bertekad mahu menyingkirkan Belanda di Gelsenkirchen esok dari saingan Liga Negara Eropah apabila kedua-dua pasukan bakal bertemu awal pagi esok.

Skuad bimbingan Ronald Koeman kini hanya memerlukan satu mata untuk melayakkan diri ke separuh akhir selepas kejayaan menumpaskan juara Piala Dunia 2018, Perancis, dengan keputusan 2-0 Sabtu lalu yang menyaksikan pasukan Jerman tersingkir ke Liga B.

Meskipun sudah tersingkir ke saingan bawahan, pasukan Jerman dilihat mampu menafikan impian Belanda untuk berada di puncak kumpulan A1 menerusi perlawanan terakhir tahun ini dan jika keadaan itu berlaku maka tiket ke separuh akhir bakal menjadi milik Perancis.

Mengalami enam kekalahan pada 2018 dan satu darinya adalah kekalahan 3-0 di tangan Belanda bulan lalu, pengendali Die Mannschaft tampak terdesak bagi meraih kemenangan untuk meningkatkan moral pasukan di saat beliau kini sedang dalam usaha menstruktur kembali pasukan ekoran prestasi buruk di Piala Dunia.

“Kami memiliki sebab untuk membuktikan sesuatu dan akan melakukan segalanya bagi memenangi pertemuan ini.

“Amat mengecewakan kerana kami sudah tidak berdaya untuk mengubah keadaan dalam kumpulan, kami perlu belajar daripada itu dan memanfaatkan sepenuhnya tahun yang mengecewakan  ini.

“Kami perlu menamatkannya dengan persembahan yang baik untuk membuktikan kami berada di landasan tepat. Kami pernah menjadi salah sebuah pasukan paling konsisten sejak 10 tahun lalu namun tahun ini amat mengecewakan dan ia perlu berakhir segera,” jelas Low.

Setelah terkandas di peringkat kumpulan di Piala Dunia 2018 di Moscow, Jerman kini sedang membina semula pasukan mereka dan ianya dapat dilihat menerusi aksi bertemu Russia di mana Jerman yang membariskan pasukan muda dengan purata umur 24 tahun berjaya menjinakkan Russia di Leipzig dengan keputusan 3-0 pada Khamis lalu.

Meskipun berjaya meraih tiga gol menerusi Leroy Sane, Serge Gnabry dan Niklas Suele, Low dijangka bakal mengembalikan pemain berpengalaman skuad juara Piala Dunia 2014 itu ke dalam kesebelasan utamanya ketika bertemu Belanda nanti.

Foto : AFP

Sumber : The Guardian