Skuad Thailand dan Indonesia yang membariskan pemain-pemain utama menyertai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) ternyata mengundang keresahan pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei.

Jin Wei, 17, yang  pernah memenangi pingat gangsa di Singapura pada tahun 2015 itu tidak mahu berada dalam zon selesa kerana kemungkinan dia bakal berhadapan Busanan Ongbumrungpan selaku pemain No.12 dunia dari Thailand.

Bagi Jin Wei, dia tidak mahu letakkan sasaran spesifik pada Sukan SEA kali ini, sebaliknya ingin memberikan tumpuan sepenuhnya dan berikan aksi yang terbaik.

Tambahnya, saingan kali ini berbeza berbanding dua tahun lalu kerana ada pemain-pemain Thailand dan Indonesia tidak beraksi pada kejohanan dunia.

“Bagi saya, pemain-pemain dari Thailand dan Indonesia akan menjadi pencabar utama pada edisi kali ini. Thailand menyenaraikan Ongbumrungpan, jadi saya perlu berada pada prestasi terbaik.”ujarnya.

Bakal mengiringi Jin Wei dalam acara perseorangan wanita pada temasya dwitahunan itu adalah pemain No. 1 Malaysia, Soniia Cheah.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu mengulas mengenai peluang Malaysia dalam acara berpasukan dan  mengakui skuad Gajah Perang, Thailand merupakan pasukan yang digeruni memandangkan tersebut dibarisi pemain-pemain terbaik dunia.

“Thailand adalah halangan terbesar Malaysia untuk meraih pingat emas kerana mereka mempunyai pemain beregu wanita No.10 dunia, Puttita Supajirakul dan Sapsiree Taerattanachai.

“Saya harap kami mampu ulangi pencapaian dua tahun lalu dengan melangkah ke final” tambah Jin Wei.