Connect with:




Permulaan industri bola sepak liga Malaysia pada tahun baru ini sememangnya hangat dek kontroversi panas perpindahan bekas ubi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Akhyar Rashid yang sedang berpotensi naik ke kelab tersohor, Johor Darul Takzim (JDT).

KFA yang tidak mahu melepaskan Akhyar pada mulanya menerima tamparan hebat selepas dia yang bersatus ejen bebas akhirnya mengambil keputusan secara drastik untuk berhijrah ke Selatan.

Apa yang mencuri tumpuan, KFA yang agak berang menyifatkan JDT ‘tapping up’ atau ‘mencuri’ Akhyar tanpa prosedur yang betul bertindak menyuarakan ketegasan mereka untuk membawa kes berkenaan keĀ Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Namun, pemilik kelab juara Liga Super lima kali berturut-turut, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dengan lantang tidak gentar sekiranya skuad Helang Merah bertindak sedemikian.

Jelasnya, mana-mana pemain mempunyai hak mereka untuk menentukan destinasi atau hala tuju ke pasukan lain selagi ianya tidak bertentangan dengan peraturan termasuk menebua baki kontrak dengan majikan lama.

Tunku turut menegaskan KFA sepatutnya tidak menyalahkan pihak lain dan seharusnya melihat kekurangan mereka berhubung keputusan Akhyar meninggalkan kelab tersebut.

“Jika hari ini Safawi Rasid (pemain JDT) datang kepada saya dan mengatakan dia mahu menebus kontraknya dan meninggalkan kelab ini, saya akan terima dengan hati yang terbuka.

“Saya tidak boleh kecewa dengannya atau pasukan yang hendak mendapatkan pemain itu. Kenapa? Kerana ini bermakna kelab tidak menjaga pemain itu dengan baik sehingga mendorong pemain untuk berhijrah.

“Saya hanya boleh menyalahkan diri sendiri dan kelab ini kerana tidak dapat menjaga pemain dengan baik. Saya akan melihatnya sebagai satu kegagalan kami kerana mungkin kami ada melakukan kesilapan. Sekarang, Kedah menyalahkan orang lain.”

Sehubungan itu , TMJ turut menyuarakan JDT membolot Akhyar dengan cara yang betul selepas pemain itu berstatus ejen bebas.

“Terdapat klausa dalam peraturan bola sepak yang menyatakan bahawa seorang pemain boleh meninggalkan pasukan pada akhir musim sekiranya dia inginkan, dengan mengikut prosedur tertentu.

“Apabila terdapat laporan Akhyar sedang berusaha untuk menamatkan kontraknya dengan Kedah dan sedang menunggu keputusan FAM (tetapi) Kedah tidak mengendahkan permintaannya untuk membincangkan perkara itu, kami menyatakan bahawa kami hanya akan mendekati Akhyar apabila dia sudah meninggalkan kelab itu dan menjadi ejen bebas.

“Jadi, apakah kesilapan JDT untuk menandatangani Akhyar selepas ada pengumuman oleh FAM bahawa dia dibenarkan menjadi ejen bebas?

“Pertama, anda tidak faham peraturan. Kedua, anda menyalahkan orang lain untuk kelemahan anda sendiri. Jika Kedah berkeras ingin membawa Akhyar atau JDT ke CAS atau pun FIFA, teruskan,” kata TMJ dalam kenyataan di Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, hari ini.

Dalam perkembangan lain, meskipun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar, Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris memberitahu isu itu tetap akan diheret ke FIFA dan CAS.

Sekiranya KFA berjaya menunjukkan bukti kukuh wududnya unsur ‘curi’ pemain kepada badan induk dunia berkenaan, kemungkinan Akhyar dan JDT mampu berdepan hukuman penggantungan dari FIFA.

Foto: Malaysiakini