Connect with:




2018 merupakan tahun yang sempurna untuk karier MMA Jihin Radzuan. Penampilan pertamanya dalam siri MMA terbesar di Asia, ONE Championship pada Mac tahun lalu berakhir dengan kemenangan mengagumkan ke atas peserta India, Puja Tomar.

Jihin seterusnya memenangi dua lagi pertarungan menerusi keputusan sebulan suara juri iaitu ketika bertemu Priscilla Gaold pada Julai dan Jenny Huang pada Disember.

Ketiga-tiga kemenangan tersebut dilakarkan di laman sendiri iaitu di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pada Sabtu ini, Jihin yang turut dikenali sebagai ‘Shadowcat’ akan membuat penampilan keempat dalam ONE Championship dan kali ini ianya bukan di Malaysia sebaliknya di Bangkok, Thailand.

Pertarungan pertamanya di luar halaman sendiri ini pastinya cukup mengujakan apatah lagi beliau akan bertemu jaguh wanita Filipina, Gina Iniong.

Iniong minggu lalu menyatakan gaya pertarungan secara berdiri Jihin memberikan peserta Filipina itu satu kelebihan.

Bagaimana Jihin percaya lawannya hanya melihat video pertarungannya di ONE Championship sahaja setakat ini.

“Jika Gina mahu beraksi secara berdiri, saya sedia terima. Sebenarnya bagi mereka yang rapat dengan saya, mereka tahu teknik pertarungan saya banyak dipengaruhi seni Muay Thai dan kickboxing” kata anak kelahiran Johor Bahru itu.

Mengulas mengenai peluang untuk memenangi pertarungan itu, ini kata Jihin;

“Rekod dan pengalamannya mungkin lebih baik dari saya namun sebagai atlet, kita tidak boleh memandang rendah keupayaan diri sendiri.

“Gina seorang atlet yang bagus namun saya perlu yakin dalam gelanggang. Jika kita tidak mempunyai keyakinan dan mentaliti untuk menang, kita tak mampu untuk memenangi pertarungan” jelas Jihin lagi.

Pertarungan Jihin dengan Gina pada Sabtu ini akan dilangsungkan di Impact Arena, Bangkok bersempena acara ONE: CLASH OF LEGENDS.