Connect with:




Jenama sukan terkenal, Nike pada Isnin mengumumkan secara rasmi penjualan jersi baharu pasukan bolasepak kebangsaan bersempena dengan kejuaraan Piala AFF yang memulakan sepak mulanya minggu ini.

Dijual di pasaran dengan harga RM 273, jersi ini boleh didapatkan di butik-butik pilihan seperti Football Republic, TFC, Al-Ikhsan, Royal Sporting House, SportsDirect dan juga Lea Sports di Sarawak Plaza.

Jersi baharu Malaysia ini menggunakan teknologi dan fabrik 100% sama dengan jersi yang digunakan pasukan-pasukan Piala Dunia di Rusia di bawah jenama Nike seperti Brazil, Australia, Portugal, England, Croatia dan semestinya juara dunia, Perancis.

Antara teknologi paling menarik adalah Fast Fit Vaporknit yang mengutamakan ciri anti-cling iaitu tidak menyebabkan peluh melekat dalam badan. Ini membolehkan pemain berasa lebih selesa hasil dari pengudaraan fabrik baju yang efisien.

Dari segi reka bentuk, Nike kembali menggunakan warna kuning sebagai warna utama menggantikan warna hitam yang digunakan dua tahun lalu untuk jersi home.

Corak belang harimau pula lebih menonjol membawa semangat Harimau Malaya ke dalam pasukan. Di bahagian belakang, terdapat grafik bulan sabit dan bintang 14 bucu menandakan ciri-ciri jata Malaysia dalam jersi ini.

Bagi jersi away pula, Nike menggabungkan keempat-empat warna Jalur Gemilang iaitu biru dan merah sebagai warna dominan serta putih dan kuning dibahagian belakang.

Bagi ketua pasukan kebangsaan, Zaquan Adha, dia sangat berbangga untuk menjadi antara yang bertuah menyarung jersi Harimau Malaya ini selain teruja dengan corak belang yang nampak garang menandakan belang Harimau Malaya.

Sementara pemain yang baru sahaja dianugerahkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018, Safawi Rasid sangat menyukai keselesaan jersi yang dipakai hasil daripada teknologi yang dibawakan oleh Nike.

Kedua-dua pemain ini ditemui semasa membuat kejutan di Padang KLFA, Taman Melati dimana mereka menghadiahkan jersi baharu kepada pemain-pemain muda yang sedang berlatih di sana.

Zaquan dan Safawi turut berkongsi pengalaman serta nasihat bagi memberikan motivasi kepada pemain-pemain muda ini untuk melangkah lebih jauh dalam karier bolasepak.

Malaysia akan menggunakan jersi baharu ini buat pertama kalinya selepas diperkenalkan pada perlawanan pertama Piala AFF 2018 menentang Cambodia di Phnom Penh, Khamis ini.