Connect with:




Badi kecederaan yang dialami pemain sayap Jerman, Marco Reus setiap kali mewakili pasukan kebangsaannya berulang lagi apabila beliau terpaksa disisihkan bagi aksi persahabatan bertemu Russia berpunca dari kecederaan kaki.

Malah, belum ada kepastian samada beliau mampu beraksi pada pertembungan getir Liga Negara-Negara menentang Belanda minggu depan.

Beraksi dalam 11 perlawanan setakat ini, ketua pasukan Borussia Dortmund itu berjaya meledak lapan gol serta melakukan empat umpanan gol bagi mengharungi musim cemerlang bersama pasukannya yang kini mendahului carta Bundesliga dan belum mengalami kekalahan.

Namun begitu, pengendali Jerman, Joachim Loew berkata Reus hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki semasa membantu Dortmund memenangi pertembungan Der Klassiker menentang Bayern Munich dengan keputusan 3-2 Sabtu lalu.

“Marco Reus tidak boleh beraksi bertemu Russia, beliau tiba ke kem latihan dengan kecederaan kaki berpunca daripada perlawanan bertemu Bayern Sabtu lalu,” jelas Loew dalam satu sidang media ringkas semalam.

Skuad juara Piala Dunia 2014 itu kini dalam usaha untuk mengakhiri tahun 2018 dengan sinar positif apabila tersingkir di peringkat kumpulan saingan Piala Dunia serta kempen sulung Liga Negara-Negara di mana mereka kini berada pada kedudukan tercorot Kumpulan 1 Liga A.

Loew menambah bahawa pasukannya kini sedang melalui proses membina semula pasukan dan proses tersebut telah berjalan namun ianya tidak akan berlaku semalaman atau tanpa sentuhan beberapa pemain berpengalaman.

“Membina pasukan baharu bukan tugas yang mudah dan ianya tidak terjadi begitu saja. Ia merupakan satu proses teliti. Fasa pembinaan semula sudah bermula dan proses itu kini berterusan,” jelasnya lagi.

Selain itu, seorang lagi tonggak Jerman yang tidak akan beraksi bertemu Russia ialah Toni Kroos yang diberikan pelepasan beberapa hari tambahan.

“Saya memberitahu Toni (Kroos) untuk sambung bercuti dan rehat dulu kerana saya merasakan beliau perlu. Saya meminta dia untuk datang Jumaat nanti, saya harap dia datang,” kata Loew berseloroh.

“Bintang tengah Real Madrid, Toni Kroos kembali ke kem latihan pada Jumaat”

 

Foto : AFP

Sumber : Goal.Com