Kejohanan Pelayaran Asia ke 15 akan berlangsung di Pulau Langkawi, Kedah dari 19 hingga 25 Februari 2012. Ianya dianjurkan bersama oleh ‘Malaysian Yachting Association’ (MYA) dan Persekutuan Pelayaran Asia di Pusat Pelayaran Kebangsaan.

Kejohanan ini akan menyaksikan sejumlah 249 pelayar dari 17 buah negara Asia merebut gelaran dalam 17 kelas. Di antaranya ialah kelas Optimis, Laser, Antarabangsa 420 dan 470 dan juga ‘match-racing’.

Dua wakil Malaysia telah pun terpilih melalui Kejohanan Kelayakan Pelayaran Asia 2012 baru-baru ini yang turut berlangsung di Pulau Langkawi dari 6 hingga 8 Februari 2012. Kejohanan tersebut menyaksikan tujuh ‘skipper’ bersama pasukan masing-masing berentap untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

Juara ‘Match-Racing’ Malaysia 2011 Jeremy Koo (Koo Racing Team) bertanding sebagai pasukan pilihan bersama-sama dengan nama-nama yang biasa dilihat dalam kejohanan ‘match-racing’ yang lalu seperti Hazwan Hazim Dermawan (Permai Hotel Match Racing Team), Masyuri Rahmat (MAF1) dan Mohd Romzi Muhammad (MYA/KFC).

Turut bersaing ialah Khairulnizam Mohd Afendi (Team Kedah), Haris Rajahidin (RMAF) dan Rizal Mahadi (Royal Selangor Yacht Club)

Namun di akhir saingan, Khairulnizam mengejutkan semua peserta lain dengan berjaya menjuarai kejohanan kelayakan ini dengan kemenangan ke atas Jeremy Koo dalam perlawanan akhir untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Sebagai naib johan, Koo menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 sementara Masyuri menerima RM3,000 sebagai pasukan di tempat ketiga.

Walaupun berjaya menjuarai kejohanan kelayakan ini, Kahirulnizam tidak akan mewakili Malaysia di Kejohanan Pelayaran Asia nanti kerana beliau akan memberi tumpuan kepada kelas Laser untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012 di London.

Sebaliknya, Koo dan Masyuri yang akan mengibarkan Jalur Gemilang apabila kejohanan tersebut bermula. Kedua-dua mereka dijangkakan akan menerima tentangan sengit dari pasukan-pasukan Asia lain seperti Maximilian Soh (Singapura), Ebrahim Ahmed Abdulla (Bahrain) dan Mahesh Ramchandran (India).