Jeremy Koo mengesahkan tempat beliau di kejohanan penutup musim Alpari World Match Racing Tour 2012 iaitu Piala Monsun apabila berjaya menewaskan seteru utamanya untuk gelaran juara Sirkit Match Racing Malaysia iaitu Masyuri Rahmat di peringkat separuh akhir Pusingan 4 sirkit tersebut di Pulau Duyong, Kuala Terengganu hari ini.

Jeremy bersama krew pasukan KFC Malaysia/Koo Racing Team mendahului Masyuri yang mengetuai Royal Malaysian Navy Match Racing Team 1 (RMNMRT 1) dengan tiga mata sebelum pusingan ini bermula. Kejayaannya menewaskan Masyuri menjadikan kedudukannya kini tidak dapat dipintas lagi.

Ianya bukanlah hari yang baik untuk para pelayar Tentera Laut Di-Raja Malaysia apabila sebuah lagi pasukannya yang diketuai oleh Harisfabillah Muhammad turut terkeluar dari saingan di peringkat separuh akhir apabila ditewaskan oleh Hazwan Hazim Dermawan dari pasukan Permai Hotel Match Racing Team.

Hazwan yang menjuarai Kejohanan Match Racing Malaysia 2009 berada dalam ‘form’ yang cemerlang dalam pusingan ini apabila memenangi semua perlawanan peringkat kelayakannya sebelum meneruskan momentum tersebut di peringkat separuh akhir.

Kemenangan tersebut dipermudahkan lagi oleh kesilapan Haris yang dikenakan bendera hitam oleh pihak pengadil apabila dia mengumpul tiga penalti dalam perlawanan pertamanya menentang Hazwan.

Hazwan dengan pantas mengambil peluang itu untuk menguasai perlawanan dan dengan mudah memenangi dua perlumbaan seterusnya untuk kemenangan 3-0 ke atas Haris yang baru kali pertama mengambil bahagian dalam MMRC.

Momentum kemenangan yang sedang dialami oleh Hazwan sekarang diharapkan akan memihak kepadanya untuk membolehkan beliau memenangi pusingan MMRC buat kali pertama selepas dikecewakan di Lumut oleh Jeremy dan di Tanjung Leman oleh Masyuri.

Lawan Hazwan dalam perlawanan akhir esok, Jeremy diberi tentangan hebat oleh Masyuri dalam perlumbaan pertama mereka. Namun kerja sama yang baik oleh krewnya membolehkan dia memenangi perlumbaan tersebut untuk beliau berada di hadapan.

Kesilapan Masyuri ketika dia sedang mendahului dalam perlumbaan kedua pula memberi peluang untuk Jeremy mengejar dan seterusnya memenangi perlumbaan tersebut. Mungkin disebabkan kekalahan tersebut Masyuri gagal untuk menghalang Jeremy dari memenangi perlumbaan ketiga dan seterusnya memasuki perlawanan akhir dan mengesahkan tempatnya di Piala Monsun 2012.