Connect with:




Persatuan Badminton Jepun sedia menggunakan khidmat jurulatih Malaysia untuk membimbing pasukan kebangsaannya terutamanya untuk persediaan Jepun menghadapi Sukan Olimpik 2020 di tanah airnya sendiri nanti.

Antara sebab yang dipercayai adalah faktor pengetahuan luas dan strategi permainan berkesan yang diterapkan oleh jurulatih Malaysia telah menarik minat persatuan itu.

Jurulatih beregu campuran Jepun, Jeremy Gan berkata kebanyakan jurulatih Malaysia mudah dan cepat menyesuaikan diri dengan budaya kerja di luar negara, malah mereka juga sentiasa bersedia untuk menimba ilmu dan pengalaman baharu.

“Untuk mengesahkan perkara ini boleh tanya Park Joo Bong (ketua jurulatih Jepun) tetapi apa yang saya rasakan adalah kebanyakan jurulatih Malaysia ingin menimba pengalaman di luar negara untuk dibawa pulang ke Malaysia.

“Malah apa yang saya fikir, Jepun merasakan jurulatih Malaysia mempunyai pengetahuan dari segi strategi permainan yang sangat baik, disebabkan itu jugalah jurulatih mereka kebanyakannya berasal dari Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, dua jurulatih dari Malaysia iaitu Tan Kim Her dan Lee Wan Wah telah menyertai skuad kebangsaan Jepun untuk merealisasikan impian Sukan Olimpik 2020 yang dilansungkan di Tokyo.

Kim Her yang juga bekas jurulatih beregu India memberitahu keputusannya untuk menyertai Jepun kerana beliau ingin mencari pengalaman baru setelah sekian lama melatih pemain muda dibeberapa buah negara termasuk Korea Selatan dan England.

Kini beliau telah dipertanggungjawab untuk membimbing pasukan beregu lelaki Jepun dengan bebarapa pemain utama negara itu seperti Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dan Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe yang berada di bawah kendaliannya.

“Sebelum ini saya hanya membimbing pemain muda dan bertanggungjwab dalam membentuk pasukan baharu tetapi kini saya lebih memilih untuk mencari pengalaman baharu dengan menyertai Jepun.

“Saya kini bukan lagi membangunkan pasukan baharu tetapi saya memberikan fokus kepada pasukan yang sedia ada dengan memberi sentuhan baru kerana mereka telah mempunyai standard tersendiri dan saya hanya membantu dari segi aspek taktikal sahaja.

“Saya pernah bekerjasama dengan Park, beliau merupakan seorang yang mempunyai kepimpinan yang sangat baik, beliau sentiasa membuat perancangan baharu dan kami akan laksanankannya,” jelas Kim Her. – Utusan

Foto : Badminton CN