Connect with:




Buat peminat utara tanahair kini anda boleh menyaksikan aksi penuh debar dan dramatik Sepak Takraw League 2019 yang kini telah menjelah ke utara tanah air.

Saingan STL 2019 yang telah bermula pada 6 September lalu telah membuka aksi minggu pertama dan ketiga STL di Stadium Maba, Kuala Lumpur selama tiga minggu dan kini buat julung kali diadakan di gelanggang baru Spice Arena, Pulau Pinang.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, minggu keempat di Pulau Pinang pasti akan meriah dengan kehadiran peminat dari utara tanahair yang akan turun menyaksikan aksi akrobatik pemain dengan lebih dekat.

“Kita sedia maklum peminat sepak takraw di Pulau Pinang begitu meriah serta ramai jaguh dan lagenda turut dilahirkan di negeri utara tanahair. Dengan penjelajahan kita kali ini diharap mampu memberi pendedahan dan mengembalikan minat anak muda terhadap sukan ini sekaligus mencungkil bakat mereka.

“STL yang hanya berbaki enam minggu ini pasti cukup mendebarkan untuk melihat pasukan mana yang mampu mengugat dominasi Penang Black Panthers di STL Premier dan saingan STL Champions Cup memandangkan pasukan lain dilihat memberikan tentangan yang sengit,” katanya.
Tambahnya, STL musim ini memberi peluang buat seluruh peminat Malaysia bukan hanya peminat di utara, malah turut akan ke pantai timur dan selatan tanahair. Selepas Pulau Pinang, STL akan ke pantai timur iaitu Dewan MPKB – BRI, Kota Bharu, Kelantan diikuti Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak dan saingan STL Champions Cup di Iskandar Malaysia Studio, Johor Bharu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay pula berkata, saingan STL setakat tiga minggu di Lembah Klang cukup mengujakan dengan kehadiran penyokong yang hadir mengamatkan suasana di Stadium Maba, Kuala Lumpur.

“Inisiatif kami untuk mengadakan STL di venue yang lebih besar tahun ini mencapat matlamatnya apabila setiap minggu kehadiran penyokong sangat memberangsangkan dengan rekod kedatangan penonton yang turun ke Stadium Maba mencecah 2,500 penonton setiap minggu. Kami berharap lebih ramai penonton akan hadir memberi sokongan kepada STL dan boleh mendapatkan tiket dikaunter setiap lokasi STL atau di www.tickethotline.com.my”.

Menurutnya, perlawanan yang dinanti-nantikan peminat juga adalah membabitkan pasukan Penang Black Panthers apabila berjaya mencatat rating tertinggi setiap minggu setakat ini.

“STL pada tahun lalu berjaya mencatat jumlah keseluruhan tertinggi tontonan sebanyak 5.6 juta penonton, sementara perlawanan yang mencatat rating paling tinggi sebanyak 238 ribu membabitkan Penang Black Panthers menentang Terengganu Turtles. Tiga minggu saingan STL yang baru bermula juga menyaksikan perlawanan membabitkan Penang Black Panthers mencatat jumlah rating tertinggi.

“Saya sangat teruja STL diadakan di Pulau Pinang tahun ini dan ingin melahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada Hotel Jazz, Pulau Pinang yang telah menaja penginapan buat para petugas STL serta kerjasama kerajaan negeri Pulau Pinang yang terlibat dalam membawa STL menjelajah,” katanya.

STL 2019 merangkumi saingan STL Premier, STL Divisyen Satu dan STL Champions Cup. Sebanyak 10 pasukan berentap dalam saingan STL Premier dan STL Divisyen Satu manakala STL Champions Cup menghimpunkan empat pasukan terbaik dari kedua-dua divisyen dan empat peryertaan pasukan jemputan dari luar negara.

Sebagai rekod, pada tahun lalu, Penang Black Panthers muncul juara STL Divisyen Premier buat tiga musim berturut-turut setelah mengetepikan tentangan sengit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kemudiannya mempertahankan trofi STL Champions Cup, manakala saingan STL Divisyen Satu pula menjadi milik Negeri Sembilan Antlers yang kini beraksi di Disyen Premier bersama Sabah Mountaineers sementara dua pasukan Selangor Pistons dan Melaka Titans jatuh ke divisyen satu.