Oleh : Ahmad Ridhuan

Kejohanan Jelajah Match-Racing Dunia 2011 sudah tiba ke dua pusingan terakhir dari lapan kejohanan yang dijadualkan berlangsung dalam musim 2011 ini.

Musim 2011 bermula pada bulan Mei dengan Match Race France dan Match Race Germany dan disusuli pula oleh Korea Match Cup dan Portimao Portugal Match Cup dalam bulan Jun.

Aksi ‘match-racing’ berterusan dalam bulan Julai di Sweden dengan kejohanan Stena Match Cup sebelum ianya berhenti rehat selama lebih kurang sebulan sebelum di sambung semula di penghujung Ogos dengan kejohanan St Moritz Match Race.

Selepas ke enam-enam pusingan tersebut, tiga skipper bersama pasukan masing-masing bersaing rapat di tiga tempat teratas carta kedudukan WMRT 2011.

Skipper Team GAC Pindar, Ian Williams dari Britain mendahului carta tersebut dengan mengutip 90 mata, hanya satu mata sahaja memisahkannya dari cabaran skipper dari Itali, Francesco Bruni dari pasukan Bruni Racing.

Williams kini sedang berusaha untuk memenangi gelaran juara WMRT buat kali ketiga selepas berjaya memenanginya dalam tahun 2007 dan 2008. Bruni pula yang belum pernah bergelar juara keseluruhan kejohanan WMRT kini berada dalam posisi terbaik untuk menamatkan penantian tersebut.

Di tempat ketiga, enam mata di belakang Williams ialah skipper dari Perth, Australia; Torvar Mirsky dengan pasukannya The Wave Muscat. Pelayar muda ini yang dilihat oleh sebahagian besar komuniti pelayaran sebagai potensi juara WMRT kini mampu untuk menjadikan ramalan tersebut satu kenyataan sekiranya dia mampu untuk kekal konsisten.

Turut berada di kelompok lapan skipper teratas carta WMRT 2011 ialah Dato’ Peter Gilmour (YANMAR Racing), Bjorn Hansen (Mekonomen Sailing Team), Damien Iehl (French Match Racing Team), Mathieu Richard (French Match Racing Team) dan Jesper Radich (Adrian Lee & Partners).

Dengan hanya lapan pasukan teratas yang akan layak untuk menerima jemputan otomatik ke kejohanan penutup tirai iaitu Piala Monsun di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, persaingan masih lagi terbuka untuk dua orang skipper.

Johnie Berntsson dari Sweden yang mengemudi pasukan Berntsson Sailing Team dan Phil Robertson (WAKA Racing Team) dari New Zealand untuk menempatkan diri mereka di kalangan lapan pasukan teratas.

Kejohanan seterusnya akan berlangsung di Royal Bermuda Yacht Club untuk kejohanan Piala Emas Argo Group dari 3 hingga 9 Oktober 2011 dan persaingan sengit dijangka akan berlaku dalam usaha para pelayar untuk menempatkan diri mereka dalam posisi terbaik menjelang Piala Monsun pada bulan November nanti.