Connect with:




Berbaki dua perlawanan Kumpulan E, Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019, satu-satunya wakil Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT) wajib menang ke atas juara bertahan dari Jepun, Kashima Antlers di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini untuk meneruskan ke pusingan kalah mati dalam penampilan sulung dalam kejohanan tertinggi kelab Asia ini.

Selepas mengharungi empat perlawanan, JDT hanya mengutip satu mata setelah seri dengan kelab dari Korea Selatan, Gyeongnam FC di Larkin pada 12 Mac lalu. JDT sebelum ini memulakan kempen ACL dengan kekalahan tipis 1-2 kepada Kashima Antlers dalam aksi pembukaan pada 5 Mac lepas, kemudiannya JDT tewas kepada kelab China, Shandong Luneng FC 1-2 di tempat lawan dan tewas 1-0 di tempat sendiri.

Walau bagaimanapun, jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata walaupun pasukannya kini berada di tangga tercorot kumpulan dengan hanya satu mata, itu tidak mengganggu fokus dan semangat juang anak buahnya untuk memburu kemenangan sulung ACL 2019.

“Jika dikira, kami masih mempunyai peluang untuk layak ke pusingan seterusnya, namun ia bukannya mudah kerana kami wajib menang kesemua dua perlawanan berbaki dan mengharapkan pasukan lain tewas dalam baki perlawanan.

“Tumpuan kami sekarang ini sepenuhnya terhadap perlawanan menentang Kashima Antlers. Oleh itu, kami akan pastikan untuk terus memberi saingan sengit dan memberi persembahan terbaik untuk penyokong dan pihak pengurusan,” kata Mora.

Kedudukan Kumpulan E ACL 2019 selepas perlawanan keempat.

Sementara itu, ketua jurulatih Kashima Antlers, Go Lowa berkata JDT bukanya pasukan yang sukar untuk ditewaskan kerana JDT mampu melakar kejutan sekiranya pemainnya hanya ghairah mencari jaringan kerana mereka juga inginkan kemenangan untuk ke pusingan seterusnya.

“Perlawanan ini merupakan perlawanan yang penting bagi kami, kami perlu menang untuk terus memburu slot ke pusiangan seterusnya, saya tidak nafikan kami perlu berjaga-jaga dengan kebangkitan JDT yang inginkan kemenangan pertama dalam saingan ACL.

“Kami sudah melakukan persiapan yang rapi dan akan memastikan akan mendominasi permainan pada perlawanan menentang JDT. Para pemain kami juga telah bersedia sepenuhnya untuk berdepan sebarang kemungkinan dalam misi membawa pulang tiga mata ke Jepun,” katanya.

Kashima Antlers kini berada di tangga kedua dalam Kumpulan E dengan mengutip tujuh mata selepas mengharungi empat perlawanan. Tangga teratas setakat ini milik Shandong Luneng dengan lapan mata dan tangga ketiga adalah Gyeongnam FC dengan lima mata selepas empat perlawanan.

Foto: Johor Darul Takzim