Connect with:




Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora ingin kekal fokus dan tidak mahu tertekan dengan harapan penyokong terhadap pasukan itu, terutamanya ketika ini bakal menerima kunjungan kelab Korea, Gyeongnam FC bagi aksi kedua Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, malam ini.

“Sudah pasti ramai penyokong mengharapkan keputusan yang positif selepas kami bertemu dengan kelab Jepun, Kashima Antlers, tetapi saya rasa kami telah melakukan yang terbaik dan kami gembira dengan keputusan tersebut.

“Tetapi bertemu Gyeongnam merupakan cabaran yang berlainan. Kami perlu fokus sepanjang perlawanan supaya kami dapat bermain sebagai satu pasukan dan keluarga.

“Jika perkara sebegini dapat direalisasikan maka saya yakin semuanya bakal mendapatkan hasil yang positif,” katanya dalam siding media pra-perlawanan di sini.

Mora berkata Gyeongnam juga merupakan kelab seperti JDT di mana mereka juga baharu menyertai ACL buat pertama kali namun beliau tidak memandang rendah kemampuan lawannya dalam mengawal permainan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Gyeongnam, Kim Jongpu berkata JDT merupakan pasukan yang cemerlang buatnya kerana dapat memberikan saingan sengit kepada juara bertahan, Kashima Antlers dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan ACL.

“Saya tahu mereka telah melakukan banyak pelaburan untuk mendapatkan pemain yang berkualiti. Oleh itu, saya yakin perlawanan malam ini sudah pasti akan berlansung dengan sangat sengit,” katanya.

Perlawanan bakal berlansung pada 8.45 malam ini merupakan peluang untuk JDT mencatatkan kemenangan pertama setelah tewas tipis kepada Kashima Antlers di Jepun pada 5 Mac lepas. – BERNAMA

Foto : JOHOR Southern Tigers