Johor Darul Takzim FC (JDT) mencipta sejarah selepas muncul juara Liga Super buat kali keempat berturut-turut walaupun tewas kepada Selangor di Selayang pada Sabtu.

Kejayaan tersebut diperoleh selepas pencabar terdekat iaitu Kedah gagal untuk mendapatkan tiga mata ketika bertemu Pahang di Kuantan.

Pada aksi di Selayang, JDT terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi jaringan cantik Natxo Insa pada minit ke-39. Bagaimanapun, Selangor bangkit pada babak selepas Amri Yahya menjaringkan gol pada minit ke-59 sebelum Andik mencetak gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-77.

Berbaki 3 perlawanan lagi, JDT sudah mengesahkan kejuaraan liga hasil kutipan 45 mata dengan pencabar terdekat iaitu Kedah yang mengumpul 34 mata tidak mampu mengejar dan memintas Harimau Selatan.

Ini juga bermakna JDT berjaya mempertahankan kejuaraan liga mereka bermula dari tahun 2014.

Dalam pada itu, saingan mengelakkan zon penyingkiran juga semakin rancak selepas beberapa keputusan berpihak kepada pasukan di zon bahaya.

Antaranya ialah kemenangan besar 5-1 Melaka ke atas T-Team dan juga kemenangan 2-0 Sarawak ke atas Pulau Pinang. Keputusan-keputusan lain menyaksikan Kelantan seri 1-1 dengan FELDA United sementara Perak mengutip 3 mata penuh hasil kemenangan 2-0 menewaskan PKNS FC.

 

FOTO KREDIT: www.asiana.my