Connect with:




Pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim (JDT) mula mempamerkan belang mereka selaku juara bertahan dengan merekodkan kemenangan kedua berturut-turut menewaskan PKNP 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Pengendali JDT, Ulisses Morais, menurunkan pemain baru mereka iaitu Adam Nor Azlin untuk bergandingan dengan Fadhli Shas di benteng pertahanan sambil menyenaraikan Marcos Antonio, Gonzalo Cabrera dan penjaga gol, Izham Tarmizi di bangku simpanan.

Rombakan itu tidak menjejaskan corak permainan Harimau Selatan yang berjaya menguasai permainan dan hampir berada di depan selepas sepakan percuma kapten JDT, Safiq Rahim pada minit ke-15 hanya melewati palang gol.

Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama JDT memperoleh gol menerusi ‘set-piece’ menarik hasil umpanan Safiq Rahim yang melorong bola kepada Natxo Insa dan disudahkan oleh penyerang dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz menewaskan penjaga gol, Syazani Mat Puat.

Bersambung babak kedua, tuan rumah terus menguasai perlawanan dengan memberikan tekanan kepada pasukan pelawat apabila sering mengasak ke kubu lawan malah gerakan solo Diaz minit ke-50 hampir mencemaskan gawang pelawat.

Tuan rumah memperoleh gol kedua mereka pada minit ke-58 hasil sepakan sudut Safiq Rahim tepat kepada Fadhli Shas yang tidak dikawal dan mudah menanduk bola masuk menewaskan Syazani.

JDT semakin bernafsu memburu gol dan kemasukan Cabrera pada minit ke-59 menggantikan Hazwan Bakri nyata menambah sengat jentera serangan apabila kerap memberikan ancaman kepada pasukan pelawat.

Natxo Insa melengkapkan malam bergaya JDT selepas menjaringkan gol ketiga tuan rumah pada minit akhir permainan apabila merembat bola leret menewaskan Syazani hasil umpanan Corbin-Ong.

Keputusan lain menyaksikan Kelantan seri 1-1 dengan Terengganu FC.

 

Foto Kredit : zikrihusani(dot)com