Connect with:




Tular di media sosial mengenai gambar penyerang sensasi Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang bergambar di laluan masuk ke padang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pastinya membuatkan penyokong sang Helang Merah tak senang duduk.

Meskipun ada pihak tampil mengatakan ianya hanya lawatan biasa pemain yang mendapat jolokan ‘Neymar Kedah’ itu, namun ianya masih belum mampu menepis spekulasi bahawa Akhyar mungkin akan menyertai Johor Darul Takzim (JDT).

Mana tidaknya apabila kebanyakkan lawatan peribadi yang dilakukan beberapa pemain ke stadium skuad Harimau Selatan itu berakhir dengan pemain tersebut menyarung jersi biru merah pada musim seterusnya.

Dengan tiket bertanding dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan menjadi milik juara Liga Super lima musim berturut-turut itu, ianya dilihat pilihan yang tepat jika Akhyar menyertai pasukan JDT pada musim depan bagi mendapatkan pendedahan buat dirinya dalam saingan ACL.

Akhyar yang sentiasa tampil dengan aksi menarik bersama skuad bawah 19 (B-19) dan B-23 tahun negara dalam setiap perlawanan serta berjaya meledak gol-gol penting berjaya mencuri tumpuan peminat bola sepak negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Gandingan serasi yang mantap bersama Safawi Rashid dan Syafiq Ahmad ketika mewakili skuad B-23 negara pada Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan lalu dilihat mampu menjadi senjata buat JDT untuk memujuk Akhyar bagi menyertai pasukan yang berpangkalan di selatan tanah air itu.

Spekulasi itu dikuatkan lagi dengan kiriman pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 16 September lalu menerusi laman facebook rasmi JOHOR Southern Tigers (JST), di mana Tunnku Ismail menyatakan hasratnya akan sekali lagi ‘memborong’ lebih ramai anak tempatan bagi mengharungi cabaran musim depan yang dianggap akan lebih mencabar buat JDT.