Connect with:




Jaringan tunggal Harry Kane membawa Tottenham Hotspur ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas menang 1-0 menewaskan Borussia Dortmund di Signal Iduna seterusnya mencatat kejayaan 4-0 secara agregat.

Gol tunggal Kane pada babak kedua perlawanan itu membawa Spurs pertama kali ke suku akhir selepas lima tahun di bawah kendalian Mauricio Pochettino.

Sebelum ini, Pochettino meminta pemainnya menamatkan tugas selepas menewaskan pendahulu Bundesliga itu 3-0 pada perlawanan pertama di Wembley.

Spurs berjaya menyerap apa saja yang diberikan Dortmund pada babak pertama sebelum jaringan Kane sejurus selepas rehat membunuh cabaran sengit tuan rumah.

“Ia sentiasa sukar bila berdepan perlawanan seperti ini, anda tidak tahu sama ada mahu bertahan atau menyerang”, kata Kane,

Kane turut memuji aksi penjaga gol Spurs, Hugo Lloris yang banyak menyelamatkan cubaan lawan.

“Mereka memiliki beberapa peluang. Pada babak pertama kami perlukan semua orang di bahagian pertahanan untuk membuat halangan”, tambah Kane.

Pochettino pula memuji Kane dan Lloris selepas beraksi baik di tempat lawan.

“Ia merupakan jaringan ke-24 Kane di peringkat Eropah dengan pecahan 14 di Liga Juara-Juara, 10 lagi di Liga Europa, mengatasi kedudukan Jermain Defoe iaitu 23 gol.

“Saya sangat gembira dengan pencapaian mereka. Anda semua tahu bagaimana perasaan saya terhadapnya. Dia merupakan salah seorang penyerang terbaik di dunia.

“Kane bukan hanya pemain Spurs yang meraih kejayaan pada hari ini, malah penjaga gol, Lloris turut mencapai rekod ke-100 tanpa bolos”, tambah Pochettino.

Selepas tersingkir pada peringkat kumpulan dua tahun lalu dan kelompok 16 terakhir kepada Juventus musim lalu, Spurs berharap dapat mara lebih jauh dalam kejohanan itu musim ini.

Foto : Sportskeeda