Menepati statusnya sebagai pemain tumpuan malam tadi, Mohd Azamuddin Akil berjaya menjaringkan dua gol cantik untuk membantu Pahang untuk menang 2-0 ke atas Johor di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh seterusnya melonjakkan pasukannya ke takhta liga.

Johor yang turun dengan rekod tanpa kalah dilihat gagal beraksi baik malah lambat menyerap tekanan dari lawan sepanjang aksi babak pertama apabila kerap kali diasak barisan anak buah Dollah Salleh yang beraksi cemerlang dengan gerakan-gerakan sempurna dan kemas.

Dengan bahagian tengah dikuasai sepenuhnya, Pahang tampak gah tanpa sebarang tekanan. Hafiz Kamal dan Faizol Hussain kental menahan asakan lawan malah gerakan turut banyak dijana dari dua pemain ini samaada kepada penyerang ataupun pemain sayap mereka.

Hasil umpanan pemain sayap, R. Gopinathan dari sebelah kanan gol dimanfaatkan sebaiknya Azamuddin Akil yang melakukan pusingan badan sebelum melepaskan rembatan jarak dekat menewaskan penjaga gol pelawat, K. Sasikumar untuk gol pertama Pahang di minit ke-11.

Azamuddin Akil sekali lagi mencuri tumpuan pada minit ke-29 apabila memulakan serangan ke kubu Johor yang dikemudi kapten, Ahmad Tharmini Saiban. Hantaran pendeknya yang ditolak semula padanya oleh Hazuan membolehkan dia menyusup masuk ke kawasan gol lawan sebelum sekali lagi menewaskan Sasikumar, menerusi sepakan leret ke sisi kanan gol.

Bermula babak kedua menyaksikan Johor mempamerkan sedikit peningkatan setelah memasukkan pemain sayap, Ahmad Syamim. Banyak gerakkan yang dijananya berjaya memecah kubu tuan rumah, namun kekentalan penjaga gol Pahang, Wan Azraei ditambah ketumpulan jentera serangan menafikan jaringan buat skuad bimbingan K. Sukumaran itu.

Salah satu peluang terbaik Jengking hadir pada minit ke-66 menerusi gerakkan Syamim dari sayap kanan yang berjaya menyelinap masuk ke kubu Pahang seterusnya membuat hantaran pendek pada Mohd Fauzzi Kassim. Namun, peluang itu telah disia-siakan Ashadi Yusoff dengan rembatan melewati palang setelah menerima hantaran dari Fauzzi Kassim.

Pahang kembali mengimbangi perlawanan masuk minit ke-75, namun kelihatan buntu mencari jaringan tambahan apabila beberapa gerakan mereka dihampakan penyudah kurang menjadi dari pemain import tunggal mereka, Nana Yaw dan juga beberapa pemain lain.

Sebelum tamat perlawanan, Johor memperoleh satu lagi peluang untuk menembusi gawang Pahang menerusi sepakan percuma yang diambil Zaidi Ahmad, namun ianya sekadar singgah di palang gol tuan rumah. Kekalahan ini menamatkan rekod tanpa kalah Johor dalam lima aksi sebelum ini, sementara Pahang kekal cemerlang dan kebal di gelanggang sendiri.

Tok Gajah mengutip tiga mata penuh seterusnya melonjak ke persada Liga Perdana dengan 13 mata, satu mata di depan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua mata di depan PDRM yang menduduki tempat kedua dan ketiga, yang kurang satu perlawanan.