“Sebelum kem latihan skuad negara berehat seketika, saya sudah maklumkan kepada setiap pemain tiada seorang pun boleh berasa selesa”, kata Stephen Van Huizen.

Hal ini berikutan skuad hoki negara perlu menunjukkan prestasi cemerlang agar tidak terkeluar dari program podium.

Stephen Van Huizen menegaskan tiada jaminan untuk 24 pemain yang diserap ke dalam Program Podium seliaan Institut Sukan Negara (ISN) akan kekal terpilih di dalam program itu.

Malah pengendali berusia 59 tahun itu berkata pintu sentiasa terbuka kepada barisan pemain yang mempamerkan aksi cemerlang sepanjang saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) yang bakal bermula Rabu ini untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan.

Van Huizen sebelum ini menyenaraikan 24 pemain ke dalam Program Podium yang dijangka bakal menggalas tugas besar sepanjang tahun ini.

Antara yang paling menjadi keutamaan adalah Sukan Asia di Jakarta & Palembang dalam usaha Malaysian Tigers memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Van Huizen tidak menafikan 24 pemain yang sudah tersenarai untuk Program Podium itu adalah pemain terbaik yang dimiliki oleh Malaysia ketika ini.

Selain 24 pemain itu, Van Huizen turut menambah empat pemain ke dalam skuad kebangsan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan membabitkan 24 pemain Program Podium sedia ada.

Bagaimanapun keempat-empat pemain itu tidak akan berada di bawah seliaan Program Podium, sebaliknya segala perbelanjaan atau elaun membabitkan mereka diuruskan oleh MHC dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Kredit : Harian Metro

Foto kredit : Facebook ( Malaysian Hockey Team Fan Page)