Connect with:




Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Mahinda Vallipuram menyifatkan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dan Pelancaran Aplikasi Integriti ICC Persatuan Hoki Malaysia di Oval Kinrara pagi tadi adalah satu langkah awal memerangi rasuah dalam sukan kriket.

Menurut Mahinda, MCA sangat memandang serius isu bookie dan atur perlawanan yang sedang berleluasa bukan saja di negara kita malah ianya terjadi di seluruh dunia.

“Setakat ini saya masih belum dengar sebarang isu berkaitan atur perlawanan di kalangan pemain kriket negara namun pihak kami harus memberikan kesedaran kepada pemain dan juga masyarakat tentang bahaya gejala rasuah.

“Kami di MCA sentiasa mengingatkan semua pemain dan kakitangan agar tidak sesekali melibatkan diri dengan gejala tidak bermoral ini kerana ianya akan memberi kesan bukan sekadar karier mereka malah keluarga akan turut terkesan”, katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian pagi tadi.

Dalam pada itu Mahinda turut menyeru orang ramai untuk memuatturun aplikasi Integriti ICC di appstore dan playstore sebagai tanda menyokong usaha kami dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membanteras gejala rasuah.