logo-FAM

 

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung keputusan mengejut bintang muda bola sepak tanah air, Mohd Nazmi Faiz Mansor meninggalkan kelab Divisyen Satu Portugal S. C Beira Mar dan kembali beraksi dalam negara.

Titah Tengku Abdullah walaupun terkejut dengan kepulangan bintang muda itu, baginda berharap Mohd Nazmi dapat mengembalikan keyakinan diri dan bermain sebaik mungkin dengan kelab yang disertainya selepas ini.

“Saya masih belum berkesempatan berjumpa dengan dia (Mohd Nazmi) lagi. Saya berharap jangan kita cepat kritik dia sehingga seolah-olah dia cepat putus asa.

“Jika ada tawaran lagi untuk bermain di luar negara, harapan saya supaya dia dapat membuat pertimbangan kerana usianya masih muda,” titah baginda selepas berangkat melawat mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Teluk Gading, di sini hari ini.

Baginda diminta mengulas keputusan Mohd Nazmi yang menamatkan kontrak lebih awal dengan S.C Beira Mar dan kembali ke tanah air dengan menyertai PKNS FC. Turut hadir Anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Tengku Abdullah dalam pada itu turut menasihati pemain muda yang menerima tawaran bermain dengan kelab bola sepak di luar negara agar mengambil peluang itu.

“Jika dapat tawaran itu, jangan ada perasaan takut nak tinggal rumah dan keluarga. Carilah pengalaman di tempat yang lebih baik daripada di sini kerana pengalaman tersebut amat mahal, jika nak majulah,” titahnya.

Baginda bertitah pengalaman beraksi dengan kelab luar negara adalah satu pengiktirafan dan harus dimanfaatkan bagi membuktikan mereka mampu bersaing dengan pemain kelab berkenaan.

Ditanya mengenai kemungkinan tindakan Mohd Nazmi itu akan menjejaskan peluang pemain muda lain untuk menyertai kelab bola sepak ke luar negara, Tengku Abdullah menyifatkan perkara itu adalah insiden terpencil.  — BERNAMA