Connect with:




London: Jangan bermain dengan api. Tegas Pengerusi Ferrari, Sergio Marchionne yang mampu mempengaruhi pasukan Formula Satu (F1) yang lain supaya meninggalkan sukan berkenaan jika ia berubah menjadi seperti perlumbaan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), siri NASCAR.

Beliau berkata, ancamannya sebelum ini yang mahu mengeluarkan Ferrari daripada sukan berkenaan selepas 2020 tidak boleh diambil ringan apabila ditemubual wartawan ketika majlis makan tengah hari pra-Krismas pasukan Itali itu di Maranello.

Marchionne berkata bagaimanapun berharap perkara itu tidak akan berlaku.

Tindakan bos Ferrari itu hadir bagi menjawab pendekatan yang diambil oleh bekas Pengarah Teknikal Ferrari, Ross Brawn yang kini Pengarah Urusan F1 dan pernah menjulang gelaran dunia bersama pasukan Brawn GP pada 2009 sebelum menyertai Mercedes.

“Perkara yang paling mengganggu saya adalah lelaki yang mempunyai banyak pengalaman seperti Ross Brawn sedang mencari jalan yang bertentangan dengan DNA Formula Satu,” kata Marchionne kepada Gazzetta dello Sport.

“Menjadikan semua jentera sama dan enjin yang murah seperti NASCAR, ia tidak menarik minat kami. Kami perlu mendapatkan jalan penyelesaian yang seimbang bagi masa depan yang memuaskan hati semua orang dan saya fikir kami akan melakukannya.

“Jika tidak, Ferrari akan menarik diri. Jika mereka (skeptikal) berfikir kami berpura-pura, mereka bermain dengan api.”

Kebanyakan pasukan F1 mempunyai kontrak yang tamat pada penghujung 2020 dan Marchionne berkata, Ferrari mungkin akan mengundurkan diri.

“Saya fikir Ferrari mempunyai kekuatan untuk mengheret pasukan lain dan mewujudkan kejuaraan alternatif,” katanya.

sumber Reuters